Sorotan dari kisah semalam, setelah Aciq menjengah kotak memori aku, lantas aku teringatkan AIBA.
Semuanya berpunca apabila WS cuba menukar topik perbualan yang memfokus tentang hubungan dia dan Aciq. WS kemudian bertanya mengenai AIBA pada aku, adakah kini sudah menjadi teman istimewaku? Lalu dengan ringkas aku menjawab, "hmm, no komen". Aku sebolehnya cuba melupakan seketika mengenai status hubungan aku dan AIBA mahupun masalah yang membelenggu aku dan dia.
"Kisah AIBA"
AIBA ku kenali menerusi sebuah laman sosial. Laman sosial tersebut aku buka hasil persetujuan bersama aku dan WS untuk mencari rakan baru. Walaupun kedengaran pelik, tetapi itulah aku dan WS. Meski hubungan cinta sudah tiada, tetapi antara kami wujud kasih sayang yang terjalin dalam kapasiti kekeluargaan.
Perkenalan aku dan AIBA bermula dengan berbalas mesej melalui laman tersebut. Peristiwa tersebut berlaku akhir Mei lepas. AIBA kemudiannya memberi nombor telefon melalui mesej dan memberitahu bahawa dia jarang online. Menurut AIBA, dia single sama seperti aku, juga ditinggalkan kekasih sama seperti aku.
Tarikh 6 Jun, tarikh mula-mula aku berhubung dengannya melalui telefon. Ketika itu, lebih kurang jam 11 malam, aku menyapa AIBA melalui mesej "salam awak. sorry ganggu. dah tdo ke?". Kemudian dia membalas, "salam. blom lg. sape ni erk?". Setelah berbalas mesej, aku kemudiannya meminta kebenaran untuk menghubunginya. Bermulalah episod perbualan kami berdua. Menurut AIBA, dia sedang mengikuti satu kursus anjuran institusi perubatan di mana dia praktikal. Tanpa aku sedari, perbualan tersebut menjangkau 2 jam lamanya. Di akhir perbualan, AIBA meminta kebenaran untuk melenakan diri dek keletihan di siang hari mendengar ceramah. Hahahaha, aku ketawa kecil (^_^).Sejak tarikh itu, aku kerap berbalas mesej dengannya.
Tarikh 11 Jun, masih aku ingat, ketika aku berada di Terengganu menghantar kakak WS, secara tiba-tiba aku teringatkan AIBA lalu menghubunginya. Kebetulan dia sedang berehat dan menjawab. Di waktu itu, WS dan Aciq sedang bergambar bersama di tepi Pantai Batu Burok, seperti yang telah aku kongsikan di bahagian satu.
Memang benar. Itulah kata-kata aku kepada AIBA. Adakah aku menunaikan janji aku? Tunggu..
Tarikh 12 Jun menjengah pula. AIBA pulang dari kursus. Aku merancang dengan AIBA untuk bertemu buat kali pertama. Namun, perancangan untuk jumpa pada waktu petang hampir gagal dek kerana aku terlewat. Orang kata, jika jodoh tak ke mana. Aku bertemu juga dengan AIBA di Leisure Mall. Pertama kali bertentang mata, aku seakan kelu. Malu, segan semuanya menyelubungi hati. Tapi, aku hadirkan jua kekuatan untuk berlagak normal. Hahahaha, aku pasti akan tertawa tatkala teringatkan kisah itu. Aku dan AIBA kemudiannya memilih untuk menonton wayang. Jadi, malam itu kami berdua menonton X-Men : First Class. Dikala itulah, aku mengetahui AIBA bukanlah seorang peminat filem sains fiksyen, membuatkan aku tersenyum sinis melihat telatah AIBA yang tampak kebosanan, walaupun senyuman cuba diukir dibibirnya. AIBA kemudiannya membawa aku ke Alam Damai, Cheras selesainya kami menonton. AIBA memilih kedai mamak sebagai destinasi untuk kami berborak panjang. Setibanya kami disitu, kami meneruskan sesi perkongsian latar belakang masing-masing, sehingga tidak sedar jam sudah pun mencecah 2 pagi.
Semenjak dari itu, hubungan aku dan AIBA menjadi semakin rapat. Walaupun aku dan AIBA hanya berhubung melalui telefon dan kerap bersms, bagi aku itulah detik-detik permulaan yang baik sungguhpun perlahan.
Tarikh 16 Jun, kali kedua aku dan AIBA bertentang mata ke mata. Pertemuan kali ini, AIBA bertekad untuk memandu ke Shah Alam dan bertemu denganku. Aku kemudiannya mengambil AIBA dan menuju ke sebuah tempat yang menjadi medan luahan perasaan aku tika bersedih mahupun kebosanan, iaitu Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang.
Gambar 1 : Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang di senja hari |
Gambar 2 : Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang di kala siang hari. |
Nun di sanalah, aku dan AIBA duduk berbual, sambil berkongsi cerita suka-duka masing-masing. Tetapi, aku merasakan cerita aku lebih banyak berbanding ceritanya. Hahahaha, sekali lagi aku tertawa kecil. Aku rasa sangat gembira malam itu kerana dapat bersua dengannya walau hanya untuk seketika. Oleh kerana itu, aku sekali lagi terlepas pandang dek leka berborak sehingga jam menjengah pukul 1 pagi. Pertemuan kami berakhir di restoran mamak (sekali lagi) di Seksyen 7, Shah Alam. Dalam perjalanan pulang, aku amat risaukan AIBA kerana dia mengatakan yang dia mengantuk. Alhamdulillah dia selamat sampai di kediaman kakaknya di Damansara.
Masa terus berlalu. Tarikh berubah sekali lagi, menuju hari ke 18 bulan Jun. Pertama kali aku dan AIBA berbicara dengan nada yang agak serius. Wujud kesedihan dalam diri AIBA. Pada waktu itu, terbongkar sesuatu mengenai cinta silamnya. Aku sedia maklum AIBA menetap bersama kakak bekas kekasihnya, namun tidak ku tahu masalah yang melanda AIBA mengaitkan bekas kekasihnya itu sungguh berat. Malam itu, AIBA menangis. AIBA mengatakan bekas kekasihnya yang disapa 'Abg Arcs' mahu dia terus ada bersama dengannya. Itulah airmata pertama kami berdua dalam hubungan ini. Mood aku terus berubah. Namun, aku cuba mengtenteramkan AIBA agar dia tenang. Alhamdulillah, dia kuat bersabar.
Aku ketika itu menghadiri majlis sambutan hari lahir Aciq di Genting Klang. Semuanya berpunca apabila aku mengatakan aku merasa keseorangan apabila melihat semua yang hadir ke majlis itu membawa pasangan masing-masing, kecuali aku. Aku meluahkan pada AIBA, lalu disambut dengan deraian tangis. Nasib baiklah kami berdua dapat mengawal emosi. (walaupun akhirnya aku gagal juga, lalu dipujuk oleh Aciq dan WS. namun bukan salah AIBA emosi aku terganggu).
AIBA sekali lagi aku temui. Pada hari tersebut, 21 Jun, aku melencong ke arah Cheras setelah pulang dari UniTen menyelesaikan tugas. AIBA mengatakan yang dia teragak untuk makan di McDonalds kerana sudah terbiasa dengan KFC. Oleh yang demikian, kami berdua ke restoran berkenaan yang terletak di Cheras Perdana. Di sana, AIBA yang kelihatan girang kerana dapat bertemu denganku, telah mengambil gambar aku secara sembunyi dan dimuat naik keesokkan harinya ke dalam akaun Facebooknya. Hahahaha, aku tersenyum sendirian!
Masa terus berlalu, membawa aku ke tarikh 1 Julai. Pada hari tersebutlah aku pertama kali bertentang mata dengan keluarga AIBA. Aku pernah menulis dalam satu entri sebelum ini. Di sana, aku bertemu dengan Abah, Mak, Along dan isteri, Angah dan isteri serta anak-anak diorang dan juga adik bongsu AIBA. Aku dan AIBA masing-masing sangat teruja dengan situasi tersebut, walaupun pada awalnya, aku agak gementar. Selesai majlis itu, aku membawa AIBA ke rumah Aciq untuk bertemu WS berikutan perancangan awal WS agar aku mengambilnya pulang ke Klang. Namun, rancangan tersebut berubah kerana WS perlu menemani Aciq ke sebuah majlis. Pulangnya aku menghantar AIBA, aku menerima kiriman sms darinya, "time kaseh sbb amek sy, bw kreta mcm lari dr tsunami, jmpa mak abh, jmpa WS, anta balik ceras.. aiyo! byk awk buat tuk sy mlm ne". (^_^)
Pertemuan seterusnya terjadi pada 6 Julai dimana aku dan AIBA bertemu di Pizza Hut Cheras. Pada mulanya, aku merancang untuk menonton wayang namun kesilapan teknikal menyebabkan aku tak sempat untuk menempah tiket awal. Sekali lagi kami bertentang mata, berbual-bual mengenai masalah sesama sendiri, sambil menyumbat mulut dengan pizza yang dibelanja oleh AIBA. Aku masih dengan cerita masalah WS dan Aciq. Tapi aku tidak sekali-kali merosakkan topik perbualan, lalu aku bertanya tentang Abg Arcs. Banyak juga cerita yang dikongsi oleh AIBA, namun aku tidak merasa cemburu terhadap Abg Arcs kerana mereka berdua sudah setahun lebih bersama. Jadi, tafsiranku menganggap Abg Arcs hanyalah bertindak sekadar mahu melindungi AIBA dari perkara yang tidak elok. Pertemuan malam itu berakhir seperti sebelum ini dengan menghantar AIBA pulang. Sekali lagi aku merasa sangat gembira.
Sekali lagi aku berjumpa dengan AIBA pada 11 Julai. Kali ini, aku menerjah ke tempat dia bekerja. Aku ke Times Square dengan WS dan Aciq. Aku kemudiannya secara senyap-senyap masuk ke dalam kedai serbaneka tersebut dan berlagak seperti seorang pelanggan. Apabila sampai di kaunter, AIBA terkejut dan kaku melihat aku berada di depan matanya. (^0^) Aku sangat gembira kerana berjaya membuat kejutan pada AIBA. Walaupun pertemuan tersebut singkat, tetapi AIBA menghadiahkan aku sesuatu yang sangat bernilai. Biarlah aku sahaja yang tahu apakah hadiah berkenaan. Yang penting, "kelajuan" hadiah tersebut mencecah 180km/j. Terima kasih, AIBA <3.
Keadaan itu menyebabkan aku benar-benar bahagia. Hati aku yang dulunya pedih, melihat kebahagiaan orang lain, kini sudah terawat. Terima kasih, AIBA (^_^)
(bersambung.....)
+
+
+
+
+
+
+
+
+
+
+
+
+
+
+
""EpOoL De DrAgONiZeR""
No comments:
Post a Comment