Thursday, September 18, 2014

TAHALUL SIYASI MESTI DITELITI SEMULA

TIMBALAN MURSYIDUL AM PARTI ISLAM SE-MALAYSIA, DATUK HARON DIN

Dewan Ulama Pas diminta meneliti semula tahaluf siyasi atau kerjasama dalam pakatan pembangkang sama ada perlu diteruskan atau tidak.

Ketika membuat gesaan itu Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Haron Din berkata, langkah tersebut perlu dilakukan memandangkan setiap hari ada sahaja fitnah dilemparkan kepada Majlis Syura Ulama, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan semua ahli parti berkenaan.

Sambil menyifatkan Pas berhadapan dengan suasana politik yang gawat, Haron berkata, meninggalkan pakatan pembangkang adalah jalan terakhir jika usaha memulihkan keadaan gagal dilakukan.

"Tahaluf berlaku dengan nasihat ulama dengan syarat dan rukun dipenuhi. Ulama yang sebagai benteng mempertahankan tahaluf, demi kebaikan Islam dan jemaah serta bukan untuk kebaikan individu.
"Kalau syarat tahaluf telah dilanggar, rukun diroboh, ulama mesti merenung balik, kalau perlu diteruskan, teruskan. Kalau syarat dan rukun dirobohkan, ulama mesti memperbaiki dan kalau tak boleh juga, ambillah contoh dalam perkahwinan, maka talak walaupun talak amat dibenci dalam perkahwinan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas, di Kulaijaya 17hb semalam.
Tegas Haron, ahli Pas yang memperjuangkan reda Allah, sepatutnya mereka tidak bersengketa sesama sendiri bagi mengelakkan kekuatan mereka hilang.

"Kalau kita tidak kuat, kita akan hilang segala-galanya. Sebab itu kita perlu berada dalam jemaah," tegasnya sambil meminta semua ahli untuk bersangka baik dan menganggap fitnah yang disebarkan sebagai pembohongan yang nyata.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan pemimpin Majlis Syura Ulama tidak mudah melatah apabila diserang melalui internet dan individu yang tidak memahami perjuangan Pas.

"Barisan ulama Pas jangan mudah melatah, tidak menyerang balas kerana perbuatan Itu bukan cara ulama, sebaliknya mereka perlu berlapang dada, bermuhasabah diri dan memberi nasihat yang ikhlas," katanya.
Haron juga kesal kerana bukan sahaja keputusan Majlis Syura Ulama biarpun dibuat sebulat suara diperlekehkan malah beliau dikecam apabila menerima lawatan menteri ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini.

Beliau turut meminta semua ahli Pas supaya patuh dan taat kepada pemimpin selagi mereka tidak disuruh untuk melakukan maksiat kepada Allah SWT.

"Inilah punca masalah yang berlaku sekarang apabila ketaatan terhadap pemimpin itu dipertikaikan. Kita faham dalam konteks syura kehidupan berjemaah. Syura bukan ciptaan kita, bukan ciptaan Pas, syura adalah urusan pemerintahan, urusan bermesyuarat," tegasnya.
+
+
+
+
+
+
+
+
""EpOoL De DrAgONiZeR""