Sunday, October 30, 2011

MENGENANG LEGASI SENIMAN TERKENAL - ALLAHYARHAM A.R. TOMPEL


Seorang Lagenda, Pelawak dan Seniman Terkenal,
Allahyarham A.R. Tompel

Mengimbas satu dialog dari sebuah filem kelakar yang berbunyi, "cuma dia bukan nak kipas lipas, dia kipas sebat! Bongok!". Pastinya difikiran terimbau sebabak dalam filem DOREMI arahan Allahyarham Tan Sri Dr. P. Ramlee, dimana watak Re lakonan Allahyarham A.R. Tompel mengetuk kepala si ahli mesyuarat tingkap dengan kuali kerana marah akannya.

Babak Ahli Mesyuarat Tingkap dan Re di dapur dalam filem DOREMI (1966)
Lakonan beliau tampak bersahaja meskipun jenaka yang ditonjolkan agak berat. Inilah yang menjadi kekuatan dalam setiap lakonannya. Selain gaya percakapan, beliau juga terkenal kerana giginya.

Beliau yang dilahirkan pada 24 Oktober 1918 di Tanjung Balai, Asahan, Indonesia menempa nama sebagai pelakon dan pengarah di awal usianya sewaktu di Singapura bersama Shaw Brothers. Nama sebenar beliau adalah Aman Ramli Bin Jaafar. Singkatan A.R. pada nama beliau diambil sempena nama penuh, manakala Tompel pula adalah gelaran yang diambil dari nama teater Si Tompel.

Lakonan terakhir beliau adalah filem Laksamana DoReMi (1972) arahan rakan baiknya, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Hayat beliau tidak panjang. Di umur beliau menjangkau 55 tahun, beliau telah terlibat dalam satu kemalangan di Setapak - Jalan Genting Kelang pada 30 Januari 1973. Dalam kejadian tersebut, dikatakan beliau telah dilanggar oleh sebuah kereta sejurus keluar dari keretanya. Jezanah Allahyarham telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Allahyarham A.R. Tompel pernah berkahwin sebanyak enam kali dan dikurniakan seramai 23 orang zuriat kesemuanya.

Isteri pertama Allahyarham bernama P. Suriati, seorang pelakon teater bangsawan 50-an. Hasil perkahwinan ini, mereka dikurniakan tiga orang anak. Dua dari zuriat mereka ini merupakan penggiat seni di Malaysia. Anak-anak mereka adalah :-

i- Armaya Aman Ramli (A. R. Badul) - Seorang pelakon dan pengarah veteran terkenal Malaysia.
ii- Anuar Aman Ramli
iii- Amran Aman Ramli (Amran Tompel) - Pelakon

Anak sulung Allahyarham, Armaya atau dikenali sebagai A.R. Badul
Anak ketiga Allahyarham, Amran Tompel
Kemudian, Allahyarham bercerai dengan isteri pertama dan mengahwini isteri keduanya iaitu Salmah Ismail ataupun Saloma, seniwati yang kemudiannya berkahwin dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Sebelum bercerai, pasangan ini dikurniakan seorang anak, namun dipelihara oleh Saloma dan P. Ramlee di Singapura. Anak Saloma ini merupakan satu-satunya zuriat kandung Saloma hasil 3 perkahwinannya.

Allahyarhamah Puan Sri Saloma terdahulu menikahi A.R. Tompel sebelum P. Ramlee 

i- Armali Aman Ramli - Pemuzik Bebas
( Meninggal Dunia pada 2006 )

Penceraian dengan Saloma membawa kepada perkahwinan ketiga seterusnya diantara Allahyarham dengan seorang pelakon teater bangsawan yang juga pernah membintangi filem arahan Allahyarham bertajuk Abu Nawas, iaitu Jah Ismail atau Azizah Ismail. Jah Ismail merupakan jelitawan yang mempunyai rupa kacukan Arab. Hasil perkongsian hidup dengan Allahyarham, mereka dikurniakan 16 orang anak kesemuanya. Namun, tidak seorang pun anak Allahyarham yang menceburkan diri dalam bidang seni, menyebabkan anak-anak Allahyarham tidak dikenali umum.

Namun, perkahwinan ketiga itu tidaklah kekal. Mereka dikatakan bercerai setelah Allahyarham berkahwin buat kali keempat dengan seorang gadis bernama Zainab. Bagaimanapun, perkahwinan keempat ini tidak dikurniakan zuriat.

Allahyarham kemudiannya menyunting seorang pelakon jelita, Ruminah Sidek sebagai isteri pada tahun 1970 menjadikan ini perkahwinan kelima beliau. Pasangan ini hanya dikurniakan dua cahaya mata :-

Ruminah Sidek atau lebih dikenali dengan panggilan Mak Mah

i- Azlan Aman Ramli
ii- Adlin Aman Ramli - Pelakon, Pengacara, Pengarah terkenal Malaysia.

Adlin Aman Ramlie
Disebalik cerita dan pengetahuan umum, yang mengatakan bahawa Ruminah Sidek yang kini mesra disapa Mak Mah merupakan isteri Allahyarham A.R. Tompel yang terakhir, timbul cerita baru yang mengatakan Allahyarham sempat berkahwin buat kali keenam dengan seorang wanita dari Kelantan.

Hal ini diceritakan sendiri oleh anak Allahyarham, Adlin Aman Ramli dalam slot pertandingan Maharaja Lawak Mega yang disiarkan di Astro Warna 28 Oktober lalu. Menurut Adlin, sewaktu ibunya di hospital bagi menguruskan jenazah Allahyarham yang kemalangan, dia didatangi seorang wanita yang juga sedang menangis dan kemudiannya mengakui bahawa dirinya adalah isteri terakhir Allahyarham.

Wanita yang dikenali sebagai Aminah itu memberitahu bahawa dia mempunyai seorang anak hasil pernikahannya dengan Allahyarham lebih setahun sebelum kejadian yang meragut nyawa seniman tersebut.


Kenangan sewaktu rakaman filem DoReMi (1966).
Dari kiri : Ibrahim Din, A.R. Tompel & P. Ramlee


Pusara Allahyarham A.R. Tompel yang terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.




Al-Fatihah buat 
Allahyarham Aman Ramlie Bin Jaafar atau 
A. R. Tompel 


""EpOoL De DrAgONiZeR""

No comments: