Thursday, October 6, 2011

TERMENUNG SEPI - MEMORI MENJENGAH - BAHAGIAN 1



Malam, dua hari yang sudah, aku termenung lagi.. Termenung seorang diri, di kamar kebosanan.

Lalu, tersorot kembali kisah ketika aku sedang berduka. Di saat itu, hatiku mulai goyah dek sebak. Sejenak, terpacul wajah empat insan dalam benakku. 

Segalanya bermula di kala aku sedang rancak berbual dengan WS di talian. Tatkala itu aku bertanyakan soal cinta hatinya yang tampak lesu kebelakangan ini. Sedari awal perbualan, suaranya yang petah menjadi bisu oleh soalan ku itu. Lalu benakku tiba-tiba teringatkan insan yang pernah singgah di hatinya selepas aku, dia yang ku sapa "Aciq". Biarlah ku kongsikan sedikit pengalamanku mengenai Aciq. 

"Kisah Aciq"


Di suatu ketika, Aciq dan WS pernah berkasih. Datangnya Aciq dalam hidup WS hanyalah sekadar teman biasa, yang akhirnya menjadi rapat lalu datangnya cinta, cinta pandang pertama. Pada awal perkenalan mereka, WS merahsiakan dariku. Sehinggalah pada satu ketika, aku terbaca nama yang tertulis "Bby" di skrin telefonnya. Aku dengan senyuman sinis bertanyakan siapakah gerangan insan bertuah tersebut, tetapi responnya seperti ingin menyembunyikan lagi walaupun hakikatnya aku sudah maklum mengenai.

Namun, WS kemudiannya berlaku jujur setelah didesak olehku. Aciq kini kasihnya. Maka terjawablah teka-teki yang merunut akalku, tika mencari jawapan "kemana perginya WS dikala dia kerap ke KL akhir-akhir ini?". Pada waktu itu, iaitu akhir Mei 2011, WS kerap ke KL tanpa ku tahu sebab mahupun tujuannya. Setelah mengetahui mengenainya, gugur airmataku, airmata pilu seorang bekas kekasih yang selama tiga tahun telah bersama, sejenak berkata "akan saya beri ruang buat awak dan dia sepenuhnya. jagalah dan layanlah dia sebaiknya sepertimana saya pernah dapatkan dari awak dulu. jangan lupakan saya, dan jikalau ada sesuatu, mesej saja saya, awak. terima kasih atas kasih sayang yang pernah dikongsikan selama tiga tahun ini. saya amat hargainya. SALAM".

Namun, kuasa tuhan lebih besar. Aku ditemukan dengan Aciq. Pada sangkaanku, aku akan menjadi teramat cemburu terhadap Aciq. Bagaimanapun, tatkala melihat Aciq, yang kebetulan sebayaku, aku tersenyum. Senyum melihat keletahnya yang terdahulu mencemburuiku. Aku, walaupun tidak begitu diendahkan WS, sibuk melayan kerenah anak-anak saudara WS yang lincah bermain di Tasik Perdana, Kuala Lumpur. Sesekali aku menjeling, aku lihat Aciq memuncung tanda merajuk terhadap WS. Aku hanya mampu membisu.

Malam melewati, sebelum aku pulang, WS mempelawa aku untuk minum bersama di restoran. Tibanya aku di situ, ku jabat tangan Aciq dan rakan-rakannya yang turut sama ke sana. Entah mengapa, ku lihat wajah WS yang seharusnya gembira kerana ditemani kasihnya itu, berubah mencuka. Aku hairan dan bingung. Aku yang sedaya-upaya membuang rasa kekokku berhadapan dengan rakan-rakan Aciq, berjaya memecah kebuntuan mereka dek suasana tegang yang dicipta oleh WS dan Aciq. Namun, teman rapatku Shaf yang sama-sama berada di situ turut bingung melihat telatah mereka berdua. Kekasih Shaf merupakan teman rapat kepada kakak Aciq, menjadikan Aciq, kekasih Shaf dan juga Shaf berkawan baik. Entah tiba-tiba, WS meninggalkan meja makan dan berlalu pergi. Aku terkesima, sesekali merenung Aciq tanda memberi isyarat untuk memujuk. Namun tiada respon darinya. Aku kemudian memandang Shaf, menghulur not RM10 dan berlari mendapatkan WS. Sampainya aku di hadapan WS, aku terus bertanyakan tindakannya itu. Dia menggeleng tanda menidakkan, tatkala aku menyoal dengan kemungkinan aku telah berbuat salah ataupun Shaf, mahupun rakan-rakan Aciq. WS hanya membisu, namun kemudiannya berkata "saya letih, dan Aciq pulak hanya melayan rakan-rakanya itu. saya fed-up dijadikan tunggul". Aku menasihati WS agar bersabar dan menyuruh WS pulang ke rumah. WS mengangguk lalu memecut keretanya ke arah restoran tersebut. Dalam perjalanan pulang, aku mula berfikiran mengenai WS dan Aciq.

Seminggu kemudian, aku diminta menghantar kakak WS ke Terengganu setelah menghabiskan cuti sekolah pertengahan tahun di Kuala Lumpur. Telefonku berdering, ku lihat panggilan masuk dari WS. "salam, awak. saya nak bawak aciq sama boleh?". "bawak je lah. janji aciq okay, saya okay je", jawabku ringkas. Lalu, mereka pun tiba setengah jam kemudian. Aku dan kakak WS yang telah siap, terus memulakan perjalanan ke sana. Dalam perjalanan, ku lihat Aciq hanya membisu. Mungkin masih malu-malu dengan aku dan kakak WS.

Setibanya kami di Kemaman dalam jam 4 pagi, kami pun berehat. Di Kemaman itu, terdapat rumah salah seorang kakak WS yang menetap di sana. Di situ lah, perbualan aku dan Aciq bermula. Aku bangun jam 8.50 pagi, dan melihat Aciq sudah pun selesai mandi. Setelah aku bersiap, aku menjenguk melalui pintu bilik, WS masih lena dalam selimut, diapit tiga orang anak buahnya. Lalu pandanganku beralih kepada Aciq. Aku kasihan melihat Aciq membatu di atas kerusi, tiada siapa yang menyapanya. Lalu aku pergi ke arahnya dan bertanya "bosan ke, aciq?", "mmm. bosan la gak. tak tau nak buat apa. huhu", balas Aciq. Lalu, aku dan Aciq pun terus berbual mengenai latar belakangnya, sesekali Aciq pula bertanyakan mengenaiku. Tanpa disangka, aku dan Aciq mula rapat sejak dari itu.

Ada satu ketika, sewaktu berada di Pantai Burok, kami bergambar bersama. Sesekali, aku menyuruh mereka berdua bergambar bersama. Nampak serasi (^_^). Lalu, aku terfikir sejenak, mengenai hatiku. Barulah aku merasa kekosongan. Aku termenung jauh. Merenung ke arah lautan. Fikiranku tiba-tiba teringatkan AIBA, yang baru aku kenali seminggu sebelum itu. Lalu aku membuat panggilan telefon. "jujur saya kata, saya belum pernah sampai kat terengganu. kadang2 tu teringin gak", seloroh AIBA. Lalu aku menjawab, "ooo, ye ke?. hmmm, takpe2. nanti ada peluang, ada rezeki, saya bawak awak datang sini ye".

Semenjak trip ke Terengganu itu, hubungan aku dan Aciq semakin baik. Aku menjadi sahabat Aciq. Pernah satu ketika, WS sms aku, mengatakan dia berada di rumahnya. Aku hairan, kerana seharusnya dia berada di Kuala Lumpur ketika itu, lalu menelefonnya. "takde apa2 lah. saja je, dah lama tak balik rumah", respon WS ringkas pabila disoal mengenai tindakannya. Apabila malam, aku menjenguknya di rumah. Jelas membuktikan, dia sedang berkrisis dengan Aciq. Semena-mena, aku menyuruh WS bertemu dengan Aciq. Walaupun WS agak berat untuk pergi, dia menurut juga nasihatku. Aku yang memandu, memberitahu Aciq melalui telefon bahawa aku sedang menuju ke rumahnya untuk berbincang mengenai WS tanpa mengetahui WS ada bersama. Sampainya aku di sana, aku berjabat dengan Aciq yang sedari awal ku lihat sugul. Tatkala aku mengalihkan perhatian Aciq dengan berbual dan memberi nasihat padanya, ku memberi isyarat kepada WS agar merapati Aciq secara senyap, dari arah belakangnya. Dengan tidak semena-mena, gugur airmata Aciq, terkedu melihat WS di situ. Mereka berdua pun saling meminta maaf atas salah faham yang berlaku dan kembali bersatu (^_^). Aciq memelukku tanda terima kasih padaku. Di saat itu, aku sangat gembira melihat WS yang aku kasihi gembira dengan insan yang amat dia sayangi.

Namun, persahabatan aku dan Aciq tidak panjang. Pada suatu hari, WS sms padaku. Mesej itu berbunyi "salam, sy nk bgtw awk ssuatu. nxt time awk prlu brhati2 nk brkongsi masalah dgn **** atupn ****. skng ni satu umah ni tgh brckp mngnai awk. dorg mmburuk2kn awk. sy xsuka dgr dorg ckp mcm tu psl awk". Aku terdiam. Lalu membalas, "xpe la awk. sy redha je. bia la dorg nk ckp ap pn, insyaAllah sy xrugi ap2 pn. tnx 4 sharing de news wif me. appreciate it n may u happy. rgrds". Tatkala itu, aku sangat marah, dan bertekad tidak akan sekali-kali menjejakkan kaki ku ke rumah itu lagi. Seluruh isi rumah Aciq, yang terdiri daripada kakak, kekasih Shaf dan 4 orang teman serumahnya itu bercakap buruk mengenai diri aku. Namun, tuhan masih memberikan aku kesabaran.

Selang beberapa hari kemudian, sekali lagi kesabaran ku digugat. Aku terbaca sms yang dihantar oleg Aciq kepada WS. Aciq mengatakan bahawa dia tidak sangka bahawa aku yang selama ini terus berada bersama WS, sebenarnya tidak dapat menerima hakikat bahawa aku dan WS sudah tiada ikatan. Tambahan, aku juga dikatakan masih menaruh harapan yang sangat tinggi untuk kembali kepada WS kerana dia melihat aku tiada langsung usaha untuk mencari pengganti WS. Tatkala membaca mesej itu, aku hilang sabar lalu mengherdik WS. WS kemudiannya mengambil pendirian untuk memutuskan hubungan dengan Aciq kerana sudah tidak tahan dengan perangai 'cepat merajuk'nya itu yang bersifat 'kebudak-budakkan', kata WS. Aku yang mendengarnya terkedu seribu bahasa. Niat aku bukanlah untuk dia memutuskan hubungan, tetapi sekadar memberi nasihat dan menerangkan perkara sebenarnya kepada Aciq, namun ditolak WS. Aku merasa sangat bersalah terhadap WS dan juga Aciq.

Jujur aku katakan, aku agak merindukan keletah Aciq yang pernah menjadi sahabat aku, walau untuk beberapa bulan sahaja. Maafkan aku, Aciq. Aku tiada niat apatah menghasut WS agar memutuskan hubungan dengan Aciq. Fahamilah bahawa aku dan WS kini telah menjadi keluarga sesama kami. Aku mengasihi WS ibarat seorang adik. Walau apa pun, ketahuilah bahawa, persahabatan yang terjalin antara aku dengan Aciq amat aku hargai dan akan kenang sebagai sebuah peristiwa bersejarah dalam hidup aku.
+
+
+
+
""EpOoL De DrAgONiZeR""

No comments: