Tuesday, December 8, 2009

Melayu Islam Akan Terus Hancur Bersama DS Anwar, PAS & DAP


Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menegaskan, orang Melayu akan hancur selagi terus menyokong bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan konco-konconya.


Presidennya, Datuk Ibrahim Ali (gambar) menegaskan, orang Melayu juga tidak boleh bergantung kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kerana parti itu hanya mempergunakan agama Islam dan menjadi tunggangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta DAP.

Pada masa sama, katanya, kehancuran orang Melayu akan lebih kritikal jika tidak bersatu menentang DAP yang semakin melampau dan kurang ajar memijak kepala penduduk bumiputera dan Islam.

''Ini merupakan tiga ancaman yang boleh menghancurkan orang Melayu di negara ini. Tidak ada makna pembangunan pesat negara kalau Melayu akhirnya hilang kuasa di negara sendiri.

''Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12, perkembangan ini kalau tidak ditangani dengan betul, Melayu boleh jadi bangsa Palestin dan Melayu Singapura yang kehilangan negara," katanya.

Beliau berucap di hadapan kira-kira 2,000 orang pada ceramah perdana mengenai isu-isu semasa di Dataran Kampung Paya, Batu Kurau dekat sini malam tadi.

Menurut Ibrahim, kejahatan Anwar, yang dahulunya ditatang 'bagai minyak penuh' semasa zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad telah dihukum Allah SWT 'secara tunai' di dunia ini kerana sikapnya itu.

Kata beliau, selaku Ketua Pembangkang, Anwar sanggup menjanjikan 'bulan dan bintang' kepada PAS dan DAP tanpa memikirkan kepentingan dan nasib orang Melayu dan Islam.

''Sebab itu pemimpin DAP sanggup pijak gambar tiga wakil rakyat Bebas di Perak. Mereka pijak gambar orang Melayu dan Islam. Melayu dalam pembangkang jadi pengecut dan hanya diam bila DAP kurang ajar.

''Apabila DAP menghina institusi raja, menyamakan Islam dengan agama lain dan memperlekeh bahasa Melayu, Anwar hanya diam membisu, sampai sekarang tidak bersuara," katanya.

PAS pula menurut Ibrahim diibaratkan sudah sampai ke peringkat 'masuk wad gila' kerana kenyataan pemimpin-pemimpinnya yang mengarut terutama sekali Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, PAS hanya dipergunakan oleh DAP dan PKR untuk memecahkan undi Melayu di negeri-negeri tertentu terutama sekali di Perak, Selangor dan Pulau Pinang hingga menang beberapa kerusi.

Jelas beliau, dominasi PAS di Kedah dan Kelantan tidak dikhuatiri kerana masih diperintah oleh Melayu Islam tetapi kehadiran Pas di negeri lain adalah amat bahaya.

''Walaupun Nizar (Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin) jadi Menteri Besar Perak tetapi beliau hanyalah patung. Pemerintah Perak yang sebenar ialah DAP. Mereka marah sangat dan pijak gambar orang Melayu selepas kuasa mereka dirampas.

''PAS pula sibuk mendoakan kehancuran umat Islam lain. Kalau benar doa Tok Guru Pas berkat sudah tentu Kelantan sekarang negeri paling maju dan mungkin sudah ada sepuluh menara berkembar Petronas di sana," katanya.

Ibrahim menambah, kemenangan besar DAP dilihat hampir sama dengan kejayaan mereka semasa PRU 1969 walaupun pada masa itu pergerakan komunis telah dibubarkan selama enam bulan.

''Bagaimanapun perjuangan mereka tidak mati. Bekas penyokong komunis kini berada dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik, Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat.

''Sebab itu mereka begitu berani (nak) bawa Chin Peng balik. Apa tandanya itu? Masih tidak sedar lagikah rakyat Perak?" ujar beliau.

Katanya, walaupun bukan ahli UMNO dan hanya wakil rakyat Bebas, beliau menegaskan orang Melayu perlu kuat dan bersatu kembali di bawah payung UMNO dan Barisan Nasional (BN) demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

''Orang Melayu dari dulu memang kalah dari segi ekonomi tetapi kuat dalam politik. Malangnya sekarang politik pun sudah mula kalah. Jadi jangan menyesal kalau Melayu terus hancur pada PRU Ke-13 akan datang," katanya.

>>Sumber UTUSAN MALAYSIA

""EpOoL De DrAgONiZeR""

No comments: