Wednesday, August 31, 2011

AIDILFITRI 2011 TANPA MEREKA DISISI KU


AiDiLFiTRi menjelma lagi. Tahun ini, Hari Raya iaitu 1 Syawal jatuh pada 30 Ogos 2011 bersamaan hari Selasa. Seperti biasa, kita semua akan duduk di hadapan televisyen mahupun radio sambil menunggu pengumuman tarikh Hari Raya. 

Tapi tahun ini, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu yang juga selaku pengumum dan jurucakap bagi Majlis Raja-Raja Melayu telah bertukar wajah. 

Jika dahulunya, setiap tahun kita akan melihat wajah ini di kaca televisyen :-
Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah, 79 Tahun.
Tetapi, pada tahun ini, wajah ini yang muncul dan mengumumkan tarikh umat Islam di Malaysia berpuasa dan juga menyambut Aidilfitri :-
Datuk Syed Danial Syed Ahmad, 66 Tahun.
Datuk Syed Danial yang dilantik telah menggantikan Engku Tan Sri Ibrahim yang bersara pada Januari 2011 setelah berkhidmat selama 22 tahun.

Setelah sebulan kita menempuhi puasa, berlapar dan dahaga di siang hari, menahan nafsu dan segala perbuatan keji, dari terbitnya fajar subuh sehingga terbenam matahari, maka kini berakhirlah amalan tersebut dan hanya bertemu lagi di tahun hadapn. Oleh yang demikian, hadirlah pula Hari Raya di Syawal yang mulia. 

------------------------------------------------

Pada malam raya, setelah aku berbual dengan AIBA dan WSWA di talian, aku ke sudut ruang tamu rumah. Aku labuhkan punggungku di atas sofa, menghela nafas sedalamnya, lalu aku rehatkan tubuhku yang letih setelah seharian bekerja dan berkemas.

Aku lihat jam didinding, menunjukkan waktu 04:12a.m. Sejenak, aku memandang keseluruhan sudut ruang tamu itu dari atas ke bawah, kiri ke kanan, lalu berkaca mataku melimpah. Sesaat itu, baru aku sedar aku memandang tepat ke arah ruang yang pernah dihuni oleh arwah nendaku. Didendangi takbir yang berkumandang di masjid berdekatan, tatkala itu terkenangkan kesemua mereka yang pernah aku jabat tangannya, cium pipinya, dakap tubuhnya, bergelak tawa bersama, tetapi telah dahulu pergi meninggalkan aku buat selamanya menghadap Allah Yang Maha Pencipta.

Bermula dengan kehilangan nenda dan nyang tercinta pada tahun 2000, banyak membawa perubahan pada suasana Aidilfitri di rumah. Jika dahulu, tetamu tidak putus berkunjung ke rumah untuk menziarahi nenda. Sedari pagi Syawal sejurus Solat Sunat Aidilfitri, sehingga ke lewat malam, sehinggakan aku dan keluarga tidak berpeluang berkunjung ziarah. Berlainan kini, aku dan keluarga yang menjadi tetamu menziarahi saudara-mara yang tinggal berdekatan mahupun jauh, manakala rumah pula sunyi tanpa tetamu.

Semenjak itu, aku sekeluarga pulang ke kampung ayahanda yang terletak di Kampung Gapis, Padang Rengas, Perak setiap kali tiba Hari Raya. Di sana, masih tinggal kedua atuk dan opah. Meskipun nyang aku telahpun pergi menghadap Illahi pada tahun yang sama dengan nenda, namun kemeriahan di sana tetap wujud. Sedikit sebanyak terubat juga duka kehilangan nenda ku yang terlalu aku sayang.

Tujuh tahun kemudian berlalu. Pada tahun 2007, sekali lagi Aidilfitri aku sekeluarga kehilangan serinya apabila abang sepupu aku yang selama ini berada disamping keluarga aku, telah menyahut panggilan Allah. Jika dahulunya, setiap kali raya pertama, kami sekeluarga akan beraya bersama di pagi Syawal, menziarahi pusara nenda aku, dan barengan raya ke rumah sanak saudara. Perginya dia, maka tinggallah isteri dan anak-anaknya bersama keluarga aku, meneruskan kelangsungan hidup seterusnya.

Memetik sepotong ayat dari Al-Qur'an yang bermaksud, "Setiap yang hidup pasti akan mati". Mengimbas Aidilfitri tahun 2008 merupakan Syawal terakhir buat kami sekeluarga beraya bersama dengan arwah atuk aku. Arwah meninggal dunia kerana penyakit jantung pada November 2008 meninggalkan opah yang kini keseorangan tanpa suami dan bisan yang selalu rapat dengannya.

------------------------------------------------------------------

Aku sendiri tidak tahu apakah yang menyebabkan aku terkenangkan mereka yang telah pergi selamanya di pagi itu. Mungkin juga kerana ketika itu, aku yang letih mengemas ruang tamu untuk Syawal, sejenak terfikir, 'Siapakah yang bakal menjadi tetamu rumah ini ? Adakah mereka yang sudi berkunjung lagi di tahun 2011 ini ? Atau adakah aku akan beraya bersama sanak saudara di kampung lagi tahun ini ? Semuanya berlegar-legar merewang di fikiran.

Tatkala itu, barulah aku sedar, betapa kehadiran mereka disisi aku sebelum cukup bermakna, dalam mengisi ruang kekosongan, keceriaan, kemeriahan dan kegembiraan menyambut Aidilfitri bersama.

Kini, barulah aku tahu mengapa acap kali aku mengalir airmata justeru mendengar laungan takbir raya dari corong radio, kotak suara televisyen mahupun dari masjid dan surau berdekatan rumah ku.

Doaku panjat pada-Mu Ya ALLAH :-

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم



"Ya ALLAH Ya Tuhanku, Kau-lah Tuhan Yang Maha Berkuasa. Dari Mu kami datang, dan kepada-Mu jua kami akan kembali. Maka, Kau limpahilah rahmat-Mu yang Agung itu kepada mereka yang terdahulu pergi meninggalkan kami menghadap-Mu, terutamanya kaum keluargaku yang aku amat kasihi, khususnya :-

i- Allahyarhamah Nenda, Hajah Tarwiyah Binti Man Hasan ( Oktober 2000 )
ii- Allahyarhamah Nyang, Hajah Miah Binti Nordin ( Oktober 2000 )
iii- Allahyarham Abg Long, Haji Zamani Bin Haji Mazlan ( Mac 2007 )
iv- Allahyarham Atuk, Haji Hassan Bin Bujang ( November 2008 )

Kau tempatkanlah mereka ditempat yang baik, yang dekat dengan sisi-Mu Ya ALLAH. Di Aidilfitri ini, kau limpahkanlah kurniaan-Mu pada ku dan seluruh keluargaku agar tabah menghadapi kelangsungan hidup, mengharungi arus kehidupan yang serba moden ini. Juga kepada seluruh umat Muslimin di Malaysia dan seluruh dunia.

 امين يا رب العالمين

-----------------------------------------------------------------------
--------------------------------------------------------------------------------


""EpOoL De DrAgONiZeR""

No comments: