Tuesday, October 27, 2009

M. Manoharan Mahu Bawa Tun Mahathir Ke Mahkamah Antarabangsa


Peguam, M. Manoharan berhasrat untuk membawa mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa berhubung insiden yang berlaku di Kampung Medan pada 2001.


Hasrat tersebut dinyatakan kepada sekumpulan media selepas tamat prosiding kes penasihat Hindraf, P. Uthayakumar di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini.

Ketika ditanya kenapa beliau mengaitkan mantan Perdana Menteri itu dengan insiden tersebut, Manoharan menyatakan:

''Kerana pada masa itu, beliau merupakan Menteri Dalam Negeri, Perdana Menteri pada masa itu dan he's orchestrated the whole incident (dia yang merancang segalanya).''

Kampung Medan di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya pernah mencetuskan ketegangan kaum pada 2001 tetapi kini berubah wajah apabila penduduknya hidup aman damai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah itu turut menyatakan, beliau hanya mengikut saranan Dr. Mahathir yang dinyatakan dalam blognya bahawa semua penjenayah perlu dihadapkan ke mahkamah.

''Tapi beliau (Dr. Mahathir) tidak perlu risau kerana di Mahkamah Jenayah Antarabangsa itu dia akan mendapatkan satu perbicaraan yang adil. Tidak seperti kami,'' katanya.

Bagaimanapun, ketika ditanya bila permohonan tersebut akan dibuat, Manoharan hanya menjawab: ''Apabila tiba masanya.''

Peguam yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 13 Disember 2007 itu mengulangi beberapa kali hasratnya untuk membawa Dr. Mahathir ke muka pengadilan di peringkat antarabangsa sambil mengatakan bahawa dia serius untuk berbuat demikian.

"Source UTUSAN MALAYSIA"



""EpOoL De DrAgONiZeR""

No comments: