Wednesday, October 21, 2009

Datuk Seri Anwar Nafi , Datuk Zaid Mengaku

KUALA LUMPUR 20 Okt.- Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menafikan wujud krisis dalaman parti itu di Sabah seperti yang dilaporkan sebelum ini.



Bagaimanapun, pada masa sama, seorang lagi pemimpin PKR, Datuk Zaid Ibrahim mengakui wujud krisis dalaman PKR di negeri berkenaan tetapi beliau menyifatkannya sebagai tidak serius.



Ketika ditemui pemberita di Bangunan Parlimen, Anwar berkata, segala-galanya melibatkan PKR Sabah berjalan seperti biasa.



Malah, tegasnya, hubungan antara dua individu yang telah dikaitkan dengan konflik PKR di negeri tersebut iaitu Naib Presiden, Azmin Ali serta Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, langsung tidak ada masalah.



''Isu Sabah kita tidak bincangkan hari ini tetapi jika mengenai PKR di negeri itu lihatlah Zaid Ibrahim pun ada, Azmin pun ada... tidak ada masalah apa-apa pun,'' katanya.



Sebelum itu, beliau mempengerusikan mesyuarat pimpinan pakatan pembangkang di pejabat Ketua Pembangkang di sini hari ini.



Sementara itu, Zaid yang ditemui sebelum mesyuarat itu berlangsung tidak menafikan berlakunya krisis PKR seperti mana yang dilaporkan.



Beliau bagaimanapun berkata, krisis itu tidak besar dan ia boleh diselesaikan dengan baik.



''Apabila saya pergi jumpa mereka (pemimpin PKR Sabah), ok la tu," katanya enggan mengulas lanjut.



Dalam perkembangan lain, Penasihat DAP, Lim Kit Siang pada sidang akhbar sama berkata, hasrat pembangkang membuat satu pakatan rasmi seperti Barisan Nasional (BN) masih lagi tertangguh kerana syarat Pendaftar Pertubuhan (ROS) memerlukan sekurang-kurangnya tujuh parti.



Source UTUSAN MALAYSIA, 21 OKT 2009


""EpOoL De DrAgONiZeR""

No comments: