Friday, November 25, 2011

!!! - MAAFKAN AKU, TEMAN-TEMAN



Jumaat yang hening ini, aku sekali lagi dilanda emosi. Kali ini, aku benar-benar rasa bersalah terhadap diriku juga teman-teman disekelilingku.


Coretan ini aku tujukan khas buat adikku Saro & Sepu, sepupuku Shah, sahabatku Achik Naz dan abangku Opie.

---------------------------------------------

Aku, Zudin & Saro di Genting

Saro, aku tahu aku banyak buat silap terhadap kau. Aku dah banyak memaki, mengutuk dan marah-marah kau tiap kali bersemuka, lebih-lebih lagi sejak kebelakangan ini.

Meskipun dimata orang lain, aku dan Saro nampak gembira setiap kali lepak sama-sama, namun itu sekadar untuk ‘menutup mata’. Hakikatnya, aku dan Saro lebih kerap bertekak dan berselisih pendapat sehingga menimbulkan suasana kurang senang antara kami.

Terbaru, aku sekali lagi bertegang urat di telefon hanya kerana masalah yang sangat kecil dan remeh. Aku sedar, kesalahan itu patut aku sandarkan pada diriku kerana terlalu cepat ‘naik darah’. Aku tanpa usul periksa, terus meninggikan suara kepadanya membuatkan dia tersentak lalu mengunci mulut sebelum aku mematikan talian.

Namun, setelah aku termenung dan berfikir sejenak, ternyata aku dah buat silap. Aku tak patut herdik dia. Biarpun aku sedia maklum, tugas yang dia galas kini cukup meletihkan dirinya, yang seawal jam 5.30 pagi sudah keluar ke café bekerja sehingga jam 8.30 malam baru pulang. Tapi oleh kerana sikap ‘panas baran’ aku, dah buat aku lupa pada keadaan dia disana.

Saro, maafkan aku ye. Aku telah terkasar bahasa terhadap kau. Aku tahu kau tertekan. Sekali lagi, aku minta maaf.

Pesanan aku buat kau, Saro. Tabahkan hati kau dan kuatkan semangat. Janganlah anggap herdikan aku tu sebagai pematah semangat kau. Aku nak tengok kau berjaya dalam hidup. Biarpun baru-baru ini kau ada mengadu kesedihan kau kepada aku, namun aku mahu kau ketepikan semua kata-kata tu. ‘Lantakkan’ segala apa yang orang mahu katakan pada kau. Hakikatnya, mereka tidak jelas apakah yang berlaku pada diri kau.

Aku akan terus bantu kau, seperti yang aku pernah janjikan dulu.

Ingat, aku dan semua teman-teman rapat kita akan terus menjadi keluarga untuk kau.

---------------------------------------------

Shah, Aku & Sepu di hadapan Bangunan DBKL

Sepu, adikku. Aku harap kau tak berkecil hati, seandainya aku tak berkesempatan nak bersua dengan kau sesinggahnya aku di Setapak sebelum ini.

Aku tahu, kau semakin hari semakin ditimpa kesempitan oleh ruang kehidupan juga perasaan hati. Setiap kali aku tatap FB kau, dengan status yang kau nukil, aku dapat rasa terpalitnya kemurungan dalam diri kau.

Sepu, dengarlah... Aku tahu kau seorang yang tabah, cekal dan kental dalam mengharung cabaran. Meskipun kau jauh dari abang kau Saro, aku, dan juga keluarga sedarah kau, namun tebalkanlah azam kau dengan membina jati diri yang lebih jitu, “aku pasti berjaya”. Insya-Allah, kau akan berjaya kelak.

Ingat, aku dan semua teman-teman rapat kita akan terus menjadi keluarga untuk kau.

---------------------------------------------


Shah & Aku

Dan buat kau pula, sepupu merangkap sahabatku, Shah Ayie. Maaflah, seandainya terdapat kekurangan dan kecacatan pada bahasa aku, perlakuan aku, ataupun tindak balas aku sebelum ini terhadap kau.

Kini, bila aku keseorangan, barulah aku banyak berfikir dan bermuhasabah.

Aku tak tahu, apakah yang kau simpan dalam hati, sebab aku seakan dapat lihat sesuatu yang sangat berat sedang kau pendamkan. Mahu juga aku bertanya, tapi risau akan ketidak sediaan kau untuk berkongsi. Baru-baru ni, tatkala aku datang lepak bersama kau dan Achik, aku dapat lihat dalam mata kau seperti ingin berkongsi sesuatu, namun tak terdaya untuk kau lontarkannya.

Aku tahu, kita pernah bersengketa. Namun, ibarat api yang membakar, kiranya disimbah air maka padam jua. Begitu jugalah yang terjadi antara kita, kan Shah. Bukan sekali, tapi dua kali. Kadang-kadang, aku tertawa sendiri mengenang persahabatan kita ni.

Justeru, seandainya kau ada masalah, kongsilah padaku, sepertimana dulu. Aku juga ingin memohon maaf pada kau sekiranya aku ada sakiti mahupun melukai hati kau. Aku sayangkan persahabatan kekeluargaan kita semua. Biarpun antara kita berempat, masing-masing sudah jauh, tetapi ikatan yang telah dibina sekian lamanya, aku pasti tidak akan terjejas sedikitpun.

Maafkan aku, saudara-saudaraku semua...

Ingat, aku dan semua teman-teman rapat kita akan terus menjadi keluarga untuk kau.

---------------------------------------------

Achik Naz & Aku

Seterusnya aku ingin memohon maaf pada Achik Naz. Meskipun persahabatan kita baru lagi, tidak sampai pun 7 bulan, tetapi sudah cukup untuk aku anggap kau sebagai sahabat aku.

Aku bukanlah seseorang yang pandai memilih sahabat. Aku juga tidak ramai sahabat. Tetapi, apabila aku bersahabat, layanan sebagai seorang sahabat akan aku berikan pada mereka, termasuk Achik.

Aku masih ingat, hubungan antara kita juga pernah keruh seketika dulu. Walaupun kini kita sudah berbaik, dan sesekali kita lepak bersama, namun tiap kali melihat kau bersedih melalui coretan di FB, aku hiba. Mengapa pula aku merasa hiba? Hiba, kerana aku faham akan apa yang Achik rasa. Kepedihan dan kesedihan yang Achik lalui pernah aku alami dulu, dan kini masa untuk aku cuba bantu Achik keluar dari kepiluan tu.

Sebab itulah, Achik, aku akan terus menjadi sahabat kau walau hebat mana pun dugaan yang datang. Terima kasih kerana menjadi sahabat aku. Aku hargainya, Achik Naz.

---------------------------------------------

Opie, Zudin & Aku di Genting

Aku juga tak lupa pada Opie, sahabat dan juga abang yang muncul secara tak langsung, namun memberi pengertian dalam hidup aku, biarpun tidak sebanyak mereka diatas.

Pertamanya, aku ingin mengucapkan terima kasih kerana sudi belanja aku dan Saro makan Korean Food, 8hb November lepas di Damansara. “Sangat sedap dan paling penting, ada yang belanja”.

Namun, aku juga kadangkala alpa dalam menjadi sahabat yang baik. Dek kerana sibuk dengan kerja dan bergelut dengan masalah peribadi, adakalanya aku terlupa untuk membalas pesanan dan bertanya khabar. Aku mohon maaf, ye Opie.

Opie seorang yang baik, terima kasih kerana menjadi sahabat aku, dan membuka mata aku untuk mengenali erti persahabatan dengan lebih luas.

---------------------------------------------

Di akhir ini, aku juga ingin memohon maaf kepada Abg Art. Perkenalan kita amat singkat, namun sejujurnya nama Abg lah yang sering kedengaran di cuping ini suatu ketika dahulu.

Biarpun, ‘persengketaan’ maya yang terjadi antara kita sudah kita akhirkan, tetapi sejujurnya perkara itulah yang banyak membuka mata aku secara tidak langsung. Nasihat dan juga pandangan yang diberikan sedikit sebanyak memberi buah fikiran kepada aku untuk maju melangkah dan bermuhasabah diri agar terus cekal menggapai kejayaan dalam hidup.

Sesungguhnya aku menghormati Abg, sebagai seorang yang berwawasan dan matang dari aku. Terima kasih, Abg Art.

Juga kepada E-wan, adik Abg Art, aku minta maaf. Maaf atas tindakan dan keputusan yang aku ambil sebelum ni. Ingat ye, percayakanlah kau pada ‘perubahan’ itu. Terima kasih kerana pernah menjadi sahabat aku. Aku amat menghargainya, dan aku doakan agar kau berjaya kelak.

---------------------------------------------



Sahabat.

Kamu semua adalah warna-warni hidup aku.

Selain keluarga aku yang aku sayangi dan cintai, kamulah sabahat, yang datang selepas keluarga.

Terima kasih, Sahabat..


""EpOoL De DrAgONiZeR""

1 comment:

Opie. said...

-Kata Mak,
Kawan tu ibarat lebah,
Abis madu sepah dibuang...
-Kata Ayah,
Kawan tu umpama bunga ros, Dipandang cantik,
Dipegang sakit...
-Kata Atuk,
Kawan tu seperti air,
Terus mengalir...
-Kata Nenek,
Kawan tu bak bulan,
Dipuja dan disanjung,
Tapi nun jauh di sana...
-Kate Sedare,
Kawan tu macam makanan,
Kawan makan kawan...
-Kata Abang,
Kawan tu seperti lembu,
Mengikut saje ape dikata...
-Kata Kakak,
Kawan tu tak ubah macam durian,
Bau je busuk,
Tapi sedap dimakan...
-Kata Adik,
Kawan tu macam biskut,
Kejap ade kejap takde...
-Kata Aku,
Kawan tu tak kisahlah camner,
Walaupun dier...
IBARAT LEBAH,
UMPAMA BUNGA ROS,
SEPERTI AIR,
BAK BULAN,
MACAM MAKANAN,
SEPERTI LEMBU,
TAK UBAH MACAM DURIAN,
MACAM BISKUT,
Dier tetap kawan...
Tau x sebab ape?
-Skali aku dah kawan ngan dier,
Selamenyer dier tetap kawan aku,
Itu cara aku berkawan...

Walaupun kita ader kekasih,
Tapi,
Teman tetap paling setia...
Walaupun kita punyai harta yang banyak,
Teman tetap paling berharga...

Thanks sb sudi bersahabat dgn saya :)