Monday, November 7, 2011

AL-FATIHAH BUAT IBU KEMBAR SIAM AHMAD-MUHAMMAD

Suami Allahyarhamah Aishah menyiram air mawar di pusara arwah.


Ibu kepada pasangan kembar siam yang pernah mendapat liputan meluas suatu ketika dahulu, telah meninggal dunia pada 7 November lalu.

Allahyarhamah Aishah Binti Kanda, 35 tahun, ibu kepada Ahmad dan Muhammad, 13 tahun, meninggal dunia pada jam 4 pagi hari berkenaan akibat kanser payudara. Allahyarhamah dimasukkan ke Hospital Putrajaya 2 November lalu kerana masalah jantung.

Menurut suami Allahyarhamah, Rosli Abdul Rahim, 40 tahun, Allahyarhamah dikesan menghidap kanser payudara sejak lebih setahun lalu. Namun keadaannya bertambah serius sejak dua bulan lalu sehingga menyebabkan arwah isterinya lumpuh tidak dapat bergerak.

Ketika ditanya oleh wartawan mengenai pemergian ibu tersayang buat selamanya, mereka berdua tampak cekal dan tabah, namun sesekali mereka tidak dapat menahan sebak.

Menurut Ahmad, ”Sejak ibu sakit, saya tak pernah berhenti berdoa agar ibu sembuh semula. Namun semuanya sudah ketentuan Allah. Saya redha”.

Bagi Muhammad pula, “Ibu sentiasa bersama kami tanpa mengeluh walau dalam keadaan apa sekalipun”.

Jenazah Allahyarmah Aishah dikebumikan di perkampungannya yang terletak di Sungai Haji Dorani, Sekinchan, Selangor.

Mengimbas kenangan mengenai kembar siam tersebut, Ahmad dan Muhammad dilahirkan pada 1998 dengan keadaan bercantum di bahagian dada hingga ke bahagian pinggul dan berkongsi hati. Pada 17 September 2002, mereka telah berjaya dipisahkan dalam satu pembedahan di Hospital King Fahd National Guard, Arab Saudi dan dibiayai sepenuhnya oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Abdullah Abdul Aziz.

Ahmad dan Muhammad sambil diperhatikan oleh ayah mereka.

Kini, kembar itu menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain yang sedang meningkat dewasa meskipun dalam keadaan kekurangan fizikal. Mereka kini menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 23, Subang Jaya, Selangor.

Apa yang Dragonizer harapkan, semoga mereka berdua terus cekal, tabah dan banyakkan berdoa untuk ibu mereka agar ditempatkan bersama-sama dengan para solehah.

Al – Fatihah..





""EpOoL De DrAgONiZeR""

No comments: