Thursday, November 12, 2009

PAS Kedah Tidak Lakukan Bai'ah Cerai Isteri

Pas Kedah tidak mengamalkan bai'ah yang menyatakan akan jatuh talak tiga sekiranya wakil rakyat mereka bertindak keluar daripada parti.


Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, amalan calon Pas selama ini ialah melakukan bai'ah atau sumpah taat setia bagi memastikan wakil rakyat mereka tidak mengkhianati perjuangan parti.

"Orang nak tambah isteri lagi, ini nak ceraikan pula, mana boleh," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Menteri Besar Kedah itu juga berkata, bai'ah cerai talak tiga dan taklik dalam perkahwinan mempunyai persamaan, cuma jumlah talaknya yang berbeza.

Beliau turut mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang memperbesarkan isu bai'ah cerai talak tiga itu sedangkan kandungan lafaz taklik pernikahan juga menjatuhkan talak kepada isteri jika suami gagal menunaikan amanah dan tanggungjawab.

Menurutnya yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, isu bai'ah cerai talak tiga di kalangan wakil rakyat Pas belum pasti kesahihannya tetapi lafaz taklik merupakan perundangan Islam negara ini yang dilaksanakan oleh majlis agama.

"Apabila akad nikah, akan dibuat lafaz taklik. Yang itu kenapa tak bising? Yang buat majlis agama," ujarnya.

Azizan ditanya mengenai pendedahan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad tentang wujudnya amalan bai'ah menceraikan isteri di kalangan wakil rakyat Pas sekiranya mereka bertindak keluar parti.

Menjawab isu bai'ah Pas yang menyamakan politik dengan institusi keluarga, Azizan berkata: "Rumah tangga ada politik, ada politik pendidikan, politik pentabdiran. Mana boleh pisahkan politik daripada kehidupan manusia."

Mengenai kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif sama ada beliau menerima elaun wakil rakyat selepas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail tidak mengiktirafnya sebagai anggota dewan, Azizan berkata, beliau tidak mempunyai kuasa membuat keputusan.

Katanya, segala yang berlaku di dalam DUN adalah di bawah kuasa Speaker.


""EpOoL De DrAgONiZeR""

No comments: