Wednesday, November 18, 2009

Anuar Saari Buat Laporan Polis



Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membuat laporan polis dan menyerahkan dokumen berkaitan dakwaan isu pemilikan saham oleh beberapa individu termasuk Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali yang didakwa mencecah RM8 juta.


Seorang lagi individu yang terbabit seperti didakwa dalam dokumen itu ialah isteri Azmin, Shamshida Taharin.

Anuar Shaari hadir di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di Bukit Perdana di sini, kira kira pukul 11.45 pagi.

Pengarahnya, Datuk Koh Hong Sun ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini mengesahkan menerima laporan itu.

Antara kandungan laporan polis itu adalah untuk mendapatkan kesahihan mengenai dokumen yang didakwa sebahagian daripada bukti pembelian saham berkenaan.

Anuar meminta polis menyiasat dakwaan pemilikan saham itu sekiranya maklumat yang terkandung di dalam dokumen tersebut terbukti sahih.

Katanya, pihaknya telah menyerahkan salinan dokumen-dokumen penting termasuk baucer dipercayai pembelian saham serta penyata bank membabitkan nilai pemprosesan sehingga RM2 juta.

Beliau juga menamakan beberapa individu yang didakwa terlibat dalam pemilikan saham itu termasuk Anwar kerana dokumen-dokumen bertarikh 1992 hingga 1994 ketika Ketua Pembangkang itu memegang portfolio Menteri Kewangan.

Ketika itu katanya, Azmin menjadi Setiausaha Sulit kepada Anwar.

''Ingin ditegaskan, saya membuat laporan ini secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak,'' katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat JSJK, Bukit Perdana di sini hari ini.

Ditanya mengenai kelewatan beliau untuk tampil membuat laporan dan bagaimana dokumen-dokumen itu diperoleh beliau berkata:

''Saya akan nyatakan itu kepada polis sahaja.''

Menurutnya, apa lebih penting sekarang kesahihan dokumen itu bagi membuktikan kebenaran dan menyiasat mereka yang bersalah.

''Apa yang saya tengok, dokumen-dokumen yang ada pada tangan saya ini, seolah-olah benar. Biar polis yang melakukan siasatan bagi menentukan kesahihannya.

''Saya pasti semua pihak termasuk isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mahu mengetahui kebenarannya kerana kebanyakan dokumen atas nama Shamshida,'' jelasnya.

Beliau berkata, tindakan mendedahkan dokumen itu tidak mempunyai sebarang niat buruk sebaliknya hanya mahu mendapatkan kebenaran.

Pada masa sama, beliau meminta pihak yang namanya tertera dalam dokumen pembelian saham itu supaya tidak 'melatah' jika tidak bersalah, sebaliknya menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan secara profesional.

Sebelum ini, Pengerusi Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia, S.A. Vigneswaran mendedahkan memiliki dokumen berkaitan pembelian saham itu.

Azmin kemudian menafikan dakwaan tersebut kerana maklumat dalam dokumen itu adalah tidak benar.

Semalam, Naib Presiden PKR itu turut membuat kenyataan akan mengemukakan tindakan undang-undang terhadap Vigneswaran dan pihak media yang menyiarkan dakwaan tersebut.


""EpOoL De DrAgONiZeR""

No comments: