Thursday, November 5, 2009

Koroner Benar Gali Kubur, Bedah Siasat Mayat Teoh


Mahkamah Koroner di sini hari ini membenarkan permohonan keluarga setiausaha politik kepada Exco Selangor, Teoh Beng Hock bagi menggali semula mayat mendiang untuk dibedah siasat kali kedua oleh pegawai perubatan yang dilantik.


Koroner Azmil Muntapha Abas turut memutuskan pakar patologi Thailand, Dr. Porntip Rojanasunan yang dilantik oleh kerajaan negeri Selangor hanya boleh menghadiri sesi bedah siasat tersebut tetapi tidak dibenarkan mengendalikannya secara peribadi.

Ini kerana Porntip sebenarnya memperoleh kelayakan forensik dari universiti yang tidak tersenarai dalam 250 buah institusi pengajian tinggi yang diiktiraf di bawah Jadual Kedua, Akta Perubatan 1951.

Azmil juga membenarkan dua pakar patologi Dr. Khairul Azman Ibrahim dan Dr. Prashant Naresh Samberkar yang menjalankan bedah siasat pertama, hadir sama pada sesi bedah siasat kedua.

Selain itu, seorang lagi pakar perubatan yang bakal dilantik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibenarkan hadir sama sewaktu bedah siasat dijalankan.

Namun begitu butir-butir terperinci berhubung pakar yang akan membedah siasat mayat Beng Hock, tarikh dan tempatnya akan ditentukan pada 9 November ini.

Pada prosiding yang bermula pada pukul 3.30 petang, peguam pemerhati keluarga Beng Hock, GobinSingh Deo memaklumkan, abang mendiang, Teoh Meng Kee memfailkan permohonan itu di bawah peruntukan Seksyen 335(2) Kanun Tatacara Jenayah pada 27 Oktober lalu.

Ia bagi membolehkan mayat adiknya dikeluarkan semula dari Nirwana Memorial Park, Semenyih, Selangor.

Permohonan dibuat ekoran keterangan Porntip pada inkues siasatan kematian Beng Hock menyatakan terdapat 80 peratus kemungkinan setiausaha politik kepada anggota Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah itu mati dibunuh berdasarkan kesan-kesan kecederaannya.

Menurut Gobind, Porntip antara lainnya memberitahu, Beng Hock mati akibat dicekik dan didera berdasarkan kesan tekanan pada leher lelaki itu yang konsisten dengan kesan cekikan.

Kesan kecederaan pada duburnya pula, kata Gobind, tidak konsisten dengan kecederaan yang dialami akibat terjatuh dari tempat tinggi tetapi bersesuaian luka akibat tusukan.

Justeru itu, ujar beliau, bedah siasat kedua adalah penting untuk menentukan sama ada terdapat unsur jenayah yang menyumbang kepada kematian Beng Hock.

Tambahan pula, menurut Gobind, Porntip menyatakan beliau tidak berpeluang melihat dan memeriksa sendiri mayat Beng Hock sebaliknya hanya memberikan pendapat berdasarkan gambar dan laporan bedah siasat yang dibekalkan kepadanya.

Peguam Tan Hock Chuan yang mewakili kerajaan Malaysia dan peguam pemerhati SPRM, Datuk Abdul Razak Musa tidak membantah permohonan Gobind.

Namun Abdul Razak menyatakan, beliau telah membuat semakan dan mendapati Porntip tidak layak untuk melakukan bedah siasat kedua mengikut undang-undang di Malaysia.

Sehubungan itu Abdul Razak memberitahu bahawa SPRM akan melantik pakar patologi bagi membolehkan pakar berkenaan hadir sama dalam sesi bedah siasat.

Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai lalu di koridor tingkat lima Plaza Masalam selepas ditemu bual oleh pegawai SPRM Selangor di tingkat 14, bangunan yang sama berhubung dakwaan salah guna peruntukan kerajaan negeri.

Selepas dibedah siasat pada keesokan harinya, mayat Beng Hock disemadikan pada 20 Julai lalu.



""EpOoL De DrAgONiZeR""

No comments: