Friday, November 6, 2009

Datuk Nizar vs Datuk Zambry


Krisis kepimpinan Perak yang berlarutan lebih sembilan bulan lamanya tiba ke penghujungnya apabila Mahkamah Persekutuan hari ini selesai mendengar rayuan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.


Namun siapa Menteri Besar yang sah - Mohammad Nizar atau Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir - akan ditentukan pada satu tarikh lain yang akan ditetapkan kemudian.

Panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff menetapkan demikian sebulat suara setelah mendengar rayuan Mohammad Nizar terhadap perisytiharan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan Zambry sebagai Menteri Besar.
Rayuan akhir berhubung pertikaian jawatan Menteri Besar Perak itu kekal didengar di hadapan panel lima hakim setelah permohonan Mohammad Nizar agar ia didengar oleh kuorum penuh dianggotai 11 hakim, ditolak.

Penghujahan yang berlangsung hampir tujuh jam itu turut didengar oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Datuk Wira Mohd. Ghazali Mohd. Yusof dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Mohammad Nizar ketika ditemui pemberita selepas penghujahan tersebut melahirkan kesedihan akibat permohonannya ditolak kerana beliau yakin terdapat hakim lain yang arif dalam isu-isu perlembagaan tidak diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada panel itu.

Sebelum itu, peguam Datuk S. Ambiga yang mewakili Mohammad Nizar berhujah agar panel lima hakim ditambah kepada kuorum penuh atau setidak-tidaknya melebihi jumlah sedia ada.

Ambiga berhujah, isu-isu perlembagaan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKNP) 1957 yang dikemukakan sangat penting dan memberi kesan kepada tafsiran penuh terhadap Perlembagaan Persekutuan yang bakal menjadi nas undang-undang.

''Kemelut politik di Perak masih belum selesai menjadikan ia sangat mustahak didengar oleh kuorum penuh yang mana sebarang keputusan akan menjadi sejarah pada perundangan negara,'' hujah beliau.

Ujar beliau, setakat ini, terdapat dua kes mengedar dadah yang didengar oleh panel tujuh hakim manakala kuorum sembilan hakim belum pernah diwujudkan dalam sistem kehakiman negara.

Bagaimanapun, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail selaku pencelah berhujah, permohonan melalui notis usul bagi mendapatkan panel 11 hakim itu tidak sesuai dan wajar ditolak kerana ia merupakan hal pentadbiran melibatkan bidang kuasa Ketua Hakim Negara.

Sementara itu, Sulaiman Abdullah ketika berhujah dalam rayuan tersebut menyatakan, pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar melanggar perlembagaan kerana ia hanya sah jika Mohammad Nizar meletak jawatan.

Bagaimanapun, hujah beliau, Mohammad Nizar tidak pernah mengosongkan jawatan mahupun terdapat pembubaran Dewan atau undi tidak percaya dibuat terhadapnya.

Hujah Sulaiman, tafsiran Perkara 16(6) UTKNP turut menyatakan isu kepercayaan terhadap Menteri Besar perlu dibuat dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), bukan di tempat lain manakala ahli Exco tidak boleh dianggap dipecat jika Menteri Besar enggan meletak jawatan.

Abdul Gani pula berhujah, Mohammad Nizar sepatutnya menghantar surat peletakan jawatannya dan juga ahli Exco apabila permohonan untuk membubarkan sidang Dewan tidak diperkenan oleh Sultan Perak.

Menurut beliau, kegagalan berbuat demikian menyebabkan mereka dianggap telah meletak jawatan, sekali gus menjadikan pelantikan Zambry di bawah Perkara 16(2) UTKNP sah di sisi undang-undang.

Datuk Cecil Abraham yang mewakili Zambry ketika berhujah menyatakan, sidang Dewan bukan satu-satunya cara bagi menentukan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar.

""""Source UTUSAN ONLINE""""


""EpOoL De DrAgONiZeR""

No comments: