Tidak ubah seperti wataknya dalam drama Puteri Aurora Beradu, Memey Suhaiza mungkin sedang 'tidur mati' ketika serbuan khalwat ke atasnya dan pelakon Norman Hakim dibuat hujung tahun lalu.
Keadaan tersebut menyebabkan pelakon itu langsung tidak sedar beberapa pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang mengetuk pintu dan membunyikan loceng berulang kali.
Itu cadangan yang diberikan oleh peguam syarie pelakon itu, Fakhrul Azman Abu Hassan tentang apa yang berlaku pada awal pagi 30 Oktober tahun lalu.
Cadangan tersebut dipersetujui oleh saksi pendakwa kedua, pegawai penguat kuasa JAIS, Kyairool Nizam Khiruddin, 25, sewaktu disoal balas pada perbicaraan khalwat pasangan tersebut.
Saksi tersebut turut bersetuju bahawa tiada kejadian khalwat di antara pukul 2.45 pagi hingga 2.55 pagi tarikh tangkapan iaitu sewaktu pasukan serbuan sudah berada di lokasi kejadian.
Pertuduhan ke atas Norman dan Memey berbunyi: "... berada bersama dalam keadaan yang menimbulkan syak di antara pukul 1.45 pagi hingga pukul 3 pagi, 30 Oktober 2008 di di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Ampang, dekat sini."
Norman atau nama sebenarnya, Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dan Memey Suhaiza Suhaimi, 21, dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini hari ini selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan khalwat itu.
Fakhrul Azman turut mewakili Norman.
Pasangan itu tiba bersama-sama di mahkamah pukul 9.15 pagi dengan Norman memandu kereta Memey.
Terdahulu, sesi soal balas bertukar panas apabila saksi berkenaan menafikan dia menipu ketika memberi keterangan dan merupakan seorang saksi yang tidak boleh dipercayai.
Katanya, walaupun mengakui menambah perkataan 'bersembunyi' ketika menjelaskan Seksyen 29(1)(a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang berkaitan dengan kesalahan khalwat, ia membawa maksud yang serupa.
Kyairool turut menafikan dia ataupun ketua operasi tangkapan khalwat itu, Abdul Rahman Lai Abdullah yang juga saksi pendakwa pertama, menipu ketika memberi keterangan.
Dia bagaimanapun mengakui terdapat sedikit percanggahan dari segi perbezaan tempoh masa pemeriksaan di premis itu dalam keterangannya jika dibandingkan dengan keterangan Abdul Rahman.
Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Sallehan Yatim bersambung 4 Disember ini.
...SOURCE UTUSAN MALAYSIA...
""EpOoL De DrAgONiZeR""
No comments:
Post a Comment