Thursday, February 12, 2015

AL-FATIHAH : TUAN GURU DATUK SERI HAJI NIK ABDUL AZIZ NIK MAT MENINGGAL DUNIA




بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Seri Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia akibat kanser prostat, setelah menerima rawatan selama 25 hari di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira jam 9.40 malam di kediamannya di Pulau Melaka, kira-kira satu jam selepas keluar daripada HUSM.

Bapa kepada 10 orang anak itu meninggalkan seorang balu, Datin Seri Hajah Tuan Sabariah Tuan Ishak, menghidap penyakit kanser prostat tahap empat.

Anaknya, Nik Mohammad Abduh, ketika mengesahkan perkara itu berkata, ayahnya meninggal dunia di sisi semua ahli keluarga mereka.

"Saya ingin memaklumkan pada jam 9.40 malam iaitu malam jumaat ayahanda saya menghembuskan nafas terakhir. Kita akan mengadakan solat jenazah  pada malam ini dan urusan pengebumian ayahanda akan dilakukan esok," katanya kepada media.

Antara yang hadir termasuk Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Nik Mohamad Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berharap seluruh rakyat Malaysia mendoakan untuk ayahanda.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka pada kira-kira jam 10 pagi hari ini.

Sementara itu, seramai lebih 2,000 orang mula membanjiri kawasan kediaman Allahyarham, sebaik mendapat berita kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka tersebut.

Suasana sedih menyelubungi perkarangan kediaman Allahyarham apabila orang ramai yang hadir ternyata gagal menahan sedih dan beratur untuk masuk secara bergilir-gilir ke kediaman Allahyarham.


AL-FATIHAH, SEMOGA ALLAH MENEMPATKAN ALLAHYARHAM TUAN GURU BERSAMA DENGAN MEREKA YANG MMENERIMA RAHMAT-NYA........AMEEEEEEEEEEEEEEN.












**sumber : Berita Harian

No comments: