Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain ketika ditemuramah |
TIADA apa yang lebih meremukkan hati seorang penulis apabila melihat karyanya dihina dan dipolitikkan pihak tertentu hanya kerana kandungannya tidak difahami secara keseluruhannya.
Itulah yang dirasakan oleh Sasterawan Negara, DATUK ABDULLAH HUSSAIN, 91, ketika menatap gambar sekumpulan penduduk kaum India membakar novel Interlok karya beliau di Klang, Selangor yang disiarkan akhbar ini, dua hari lalu.
Dalam linangan air mata, Abdullah yang ditemui oleh wartawan Utusan Malaysia, MOHD. KHUZAIRI ISMAIL bersama jurugambar, HAFIZ JOHARI di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor, semalam turut melahirkan kekesalan yang mendalam apabila karyanya yang diterbitkan 40 tahun lalu disalahertikan oleh pihak tertentu.
Abdullah yang berkerusi roda ketika ditemui meminta untuk berbaring ketika menjawab soalan-soalan yang dikemukakan kerana keuzurannya.
Malah, beliau juga hanya mampu menjawab soalan-soalan itu secara bertulis kerana tidak berdaya lagi untuk berbicara.
Ikuti soal jawab itu yang terpaksa dilakukan dengan ringkas ekoran keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.
Bagaimana perasaan Datuk dengan apa yang menimpa karya Interlok?
ABDULLAH: Saya berasa dukacita kerana maksud saya baik, tetapi orang salah menerima.
SOALAN : Apa yang tidak difahami oleh kaum India menerusi buku Interlok itu?
ABDULLAH: Di India (terutamanya di India Selatan), masih kuat dengan fahaman ‘paria'. Saya ikut Mahatma Gandhi. Tetapi orang India di sini cuba melupakannya.
SOALAN : Apa sebenarnya yang cuba disampaikan menerusi Interlok?
ABDULLAH: Ia merupakan kisah Maniam, iaitu watak utama seorang India dari India Selatan. Dia gembira kerana tidak ada perbezaan kasta di sini. Dia seronok menaiki kapal bersama orang India yang lain dan seronok apabila sampai di Pulau Pinang. Dia gembira kerana tidak ada perbezaan kasta di Malaysia.
SOALAN : Nasihat Datuk kepada kaum India yang menolak buku ini?
ABDULLAH: Baca betul-betul (Interlok) apa maksud sebenar saya tulis. (Saya) bukan mahu menghina masyarakat India.
SOALAN : Datuk masih menulis?
ABDULLAH: Saya tidak lagi boleh menulis. Menulis memerlukan saya bergaul dengan banyak orang.
No comments:
Post a Comment