Saturday, June 14, 2014

DEMAM & TANGGUNGJAWAB

26 Mei 2014, hari Isnin.
Jam 3.30 pagi, aku selamat sampai di Setapak dari Ipoh. Sesampai sahaja di rumah, aku dan dia terus merebahkan tubuh untuk berehat. Dia terus lena. Namun lena aku tidaklah panjang. Aku seakan tidak dapat melelapkan mata sepenuhnya, mungkin sewaktu dalam perjalanan, aku sudah tidur agak lama. Tak mengapalah.

Pagi itu aku bekerja seperti biasa. Bangkit seawal jam 7.30 pagi dan bersiap. Masih tiada tanda-tanda aku akan ditimpa musibah kesihatan.

Sewaktu di pejabat, aku mula merasa sendi-sendi aku menggeletar. Tenaga aku hilang hampir 89%, begitu juga fokus aku. Kepala aku seperti dihempap dengan sekampit guni beras 5kg, membuatkan aku lemah serta merta.
Tepat jam 12.45 tengahari, aku terus mencapai jaket dan berpindah tempat untuk melabuhkan kepala aku yang tak tertanggung sakitnya. Hampir 1 jam aku lena tatkala semua rakan sekerja aku enak menikmati hidangan makan tengahari. Sewaktu terjaga sahaja, semua yang berada dihadapan ku gelap dan kelam. Aku hampir pitam. Namun masih memaksa tenaga untuk terus berdiri.

Tepat jam 6.30 petang, waktu normal bekerja tamat, sekali lagi aku rebahkan kepala aku ke meja. Aku gagahkan diri untuk 'stayback' hingga jam 8.30 malam. Aku perasan, ramai antara rakan sekerja aku bimbang dengan tahap kesihatan aku yang tiba-tiba merudum hari itu.

Alhamdulillah, aku berjaya sampai ke rumah bersama motorsikal besar kepunyaan dia walaupun dalam keadaan menggigil dan sakit kepala. Hanya tuhan yang tahu, betapa sakitnya aku malam itu.


27 Mei 2014, hari Selasa.
Jam menunjukkan pukul 5.30 pagi. Aku terjaga dari lena tidur yang membuai aku malam itu. Belakang leher ku seperti dihentak kayu balak, sakitnya Maha Suci Allah yang tahu. Aku terasa untuk membuang air kecil, namun bila aku bangkit sahaja dari kamar, lutut aku terus hilang tenaga dan sekali lagi hampir pitam. Aku menyeret kaki aku dan memaksanya untuk berdiri juga. Alhamdulillah, Allah masih memudahkan.

Jam loceng berbunyi, menunjukkan waktu 7.30 pagi. Kebiasaannya, aku akan mengejutkan dia untuk bangkit bersiap. Namun pagi itu aku gagal sepenuhnya. Dia terjaga dan terkejut bila merasa haba yang sangat panas pada tubuh aku. Aku demam panas pagi itu. Aku minta dia sahaja yang bersiap dan aku akan ke klinik untuk dapatkan rawatan.


Di klinik Dr Ng, aku dirawat. Menurutnya, punca aku demam panas hari itu adalah disebabkan kekurangan air dalam badan dan gastrik yang teruk. Dr Ng memberi nasihat agar aku tidak mengatur waktu makan yang salah, juga jenis makanan yang diambil. Seharian aku berehat dirumah tanpa dapat aku bergerak kemana-mana. Tubuh aku betul betul lemah. Aku hanya menunggu kepulangan dia sahaja.


28 Mei 2014, hari Rabu.
Seawal 7pagi aku terjaga. Tubuh aku masih lemah. Badan aku masih terasa panas, namun aku merasa teramat sejuk. Dia menegah aku untuk pergi ke pejabat, namun atas dasar tanggungjawab aku gagahkan juga. Aku berjanji pada dia, akan maklumkan terus jika berlaku apa-apa pada diri aku.

Tengahari itu, aku memesan kepada dia agar membungkuskan makanan untuk aku. Lalu dia membelikan sebungkus mee goreng. Tujuannya, hanyalah untuk aku makan ubat dan mengisi perut. Tiada langsung selera aku hari itu.

Malam itu aku sekali lagi tewas. Sebaik sahaja aku sampai di rumah, tubuh aku menggigil kesejukan dan haba badan aku bertukar panas kembali. Aku terus menggapai selimut, mencari bantal dan rebahkan tubuh di atas tilam. Dia mengambilkan air masak dan menyuruh aku untuk menelan ubat. Setelah selesai aku mengambil ubat demam dan gastrik, aku terus lena tanpa mengambil kisah hal lain.


29 Mei 2014, hari Khamis.
Pagi itu seperti biasa, aku bangkit dan sedia untuk bersiap ke tempat kerja. Kepala masih terasa pening dan sakit, meskipun badan aku terasa sedikit berpeluh.

Di pejabat, aku terasa sakit aku semakin kebah meskipun sedikit pening dan lemah. Fokus aku terhadap kerja masih baik. Terima kasih pada rakan-rakan sekerja aku yang banyak memberi sokongan dan semangat.

Petang itu aku pulang ke rumah bersama dia seperti biasa. Aku singgah sebentar ke kedai untuk membeli pati bubur segera, untuk dimasak. Setelah selesai memasak bubur tersebut, dia meminta aku untuk memasakkan Mamee Chef Tom Yam untuknya. Aku pun dengan gembira memasak. Alhamdulillah, aku dapat merasa tenaga aku kembali pulih sikit demi sedikit. Selesai memasak kedua-dua juadah tersebut, aku dan dia pun menjamah bersama dihadapan TV. Sempat dia memesan, agar aku tidak lupa untuk mengambil ubat setelah selesai makan nanti.

Bubur Segera


30 Mei 2014, hari Jumaat.
Sekali lagi aku menggigil kesejukan. Aku dengan lemah mengejutkan dia dari tidur sambil meleleh airmata dek tak tertahan sakitnya kepala aku. Dia meminta aku untuk bersiap dan akan menghantar aku ke klinik kerajaan. Aku semakin risau kerana kata-kata Dr. Ng sewaktu Selasa lalu terngiang-ngiang ditelinga, "possibility of dengue might be one of the reason why your falling sick today".

Dia membawa aku ke Klinik Kesihatan Sri Rampai untuk mendapatkan rawatan susulan, atas arahan Dr. Ng. Meskipun agak ramai mereka yang menunggu giliran, namun tidak untuk aku. Hal itu membuatkan aku bertambah runsing memikirkan 'mengapa' pengurusan klinik seperti mementingkan 'demam' aku dengan memberi laluan berbanding mereka yang sudah sebelum aku menunggu giliran.

Di dalam bilik rawatan, aku diperiksa sepenuhnya. Dari mata, air liur, anak tekak, suhu badan dan juga darah. Setelah lebih kurang 30minit rawatan dan menunggu keputusan, aku menarik nafas lega. Doktor mengesahkan badan aku terlalu kurang air dan kurang makan menjadi punca aku jatuh sakit.


Setelah dia menghantar aku pulang ke rumah, dia terus bergegas ke pejabat. Sebenarnya, sebelum menghantar aku ke klinik awal pagi, dia telah memberitahu kepada Ketua Unit yang dia akan masuk ke pejabat lewat. Aku cukup serba salah atas tindakannya itu namun dia memesan agar tidak bimbang kerana semuanya okay.

Tengahari itu, sekali lagi aku menyusahkan dia. Aku meminta dia untuk pulang ke rumah dan mengambil aku ke pejabat. Tanpa berdalih sedikit pun, dia dengan senang hati membalas, "baiklah tunggu kat rumah nanti orang sampai". Aku bercadang untuk masuk kerja separuh hari kerana risaukan kerja-kerja yang tertangguh. Inisiatif aku itu mendapat pujian Ketua Unit aku dan terus memberi sokongan moral. Alhamdulillah.



Di sini, aku amat berterima kasih kepada si dia kerana sanggup berkorban masa demi menghantar aku ke klinik. Aku takkan pernah lupa jasamu menjaga aku tatkala aku sakit, bersabar dengan kerenah aku juga sentiasa melayan aku yang kerap amarah kebelakangan ini. Terima kasih, sayangku.




No comments: