Thursday, February 18, 2010

UMNO Sedang Dalam Perubahan Kebaikan - Presiden PAS

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, UMNO kini melalui satu perubahan yang baik apabila parti itu tidak lagi menganggap agama dan politik sebagai dua perkara berbeza.


Katanya, ia juga merupakan satu proses anjakan paradigma kepada UMNO.

"Oleh sebab itu, perbincangan mengenai perkara asas antara Pas dan UMNO terutama Islam amat penting," katanya ketika ditemuramah sebuah stesen televisyen dan disiarkan melalui blognya http://presidenpas.org.my hari ini.

Abdul Hadi sebelum ini pernah menyatakan bahawa parti itu sedia bekerjasama dan berbincang dengan UMNO dalam setiap perkara termasuk yang berkaitan dengan hal politik dan agama.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Pas lebih tegas dalam pendiriannya sebelum membuat tawaran untuk berbincang dengan UMNO mengenai sebarang isu.

Abdul Hadi berkata, Pas telah mula 'meneroka' kerjasama tersebut apabila dijemput menghadiri perjumpaan dengan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tun Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.

Beliau berkata, Pas sentiasa terbuka dan positif terhadap perbincangan tersebut demi kebaikan semua pihak.

"Ada perkara yang boleh disatukan untuk kepentingan, keadilan, hak dan kebaikan semua. Walaupun ada persepsi negatif tetapi semua itu boleh dibincang, perkara yang boleh disatukan, boleh diraikan kita perlu bertolak ansur," katanya.

Beliau berkata, sebarang perbezaan pendapat antara Pas dan UMNO tidak lagi boleh dilihat sebagai satu
prinsip yang jumud dan tidak boleh dirungkaikan melalui perundingan.

"Dengan itu, Pas bersedia untuk adakan perbincangan dalam perkara yang boleh dirungkaikan, diselesaikan secara bijaksana berpandu kepada prinsip fleksibel seperti di dalam al-Quran," katanya.

Ditanya apakah wujud percanggahan pendapat antara beliau dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Abdul Hadi berkata: ''Tidak ada sebarang percanggahan dengan beliau.''

Jelasnya, jika ada, ia adalah perbezaan pendapat dalam aspek-aspek tertentu namun bukan berkaitan soal agama.


""EpOoL De DrAgONiZeR""

No comments: