Jika sebelum ini Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat begitu lantang menentang sebarang usaha mengadakan rundingan dengan UMNO, tetapi hari ini nada beliau berbeza sama sekali.
Bercakap kepada pemberita selepas menutup Seminar Pemikiran Islam Semasa - Pemakaian Kalimah Allah di sini, Nik Abdul Aziz mencadangkan Pas dan UMNO duduk semeja berbincang dan menamatkan perseteruan lebih 50 tahun antara kedua-dua parti dokongan orang Melayu itu.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau rasa amat gembira jika soal perbincangan yang menjadi isu bermusim itu menjadi kenyataan.
"Ia kerana selama ini banyak masa, wang dan tumpuan dihabiskan kerana pertengkaran yang tidak membawa apa-apa faedah," katanya.
Menurut beliau, jika majlis perbincangan antara pemimpin berlainan agama boleh dilangsungkan dengan baik, maka tidak ada masalah untuk Pas dan UMNO - yang sama- sama Islam - duduk berbincang.
"Saya bersyukur kepada Allah kita berjaya mengadakan seminar mengenai penggunaan kalimah Allah hari ini.
"Saya datang hanya untuk menutup majlis, tapi saya sangat gembira kalau boleh majlis macam ini dibuat antara Pas dengan UMNO.
"Lebih 50 tahun kita bertengkar dengan UMNO, 50 tahun UMNO bertengkar dengan Pas. Apa hasil? Banyak masa habis, UMNO guna masa begitu banyak, kepakaran begitu banyak, lawan gerakan Islam yang dibawa oleh Pas, apa hasilnya?" katanya.
Ujar Nik Abdul Aziz, Pas adalah sebuah parti yang ditubuhkan oleh alim ulama dalam UMNO sendiri dan adalah tidak wajar perseteruan yang ada terus menerus berlaku.
"Tolong fikirlah, 50 tahun UMNO bertengkar dengan Pas dan Pas ini dibuat oleh alim ulama UMNO.
"Pada 1946, semua orang Melayu bersama UMNO tok gurunya, cikgunya, pelajar, tetapi pada 1951, alim ulama keluar daripada UMNO dan buat parti baru namanya Pas, Persatuan Islam Se-Tanah Melayu kemudian berubah jadi Parti Islam Se-Malaysia.
"Jadi apa pentingnya UMNO bertengkar dengan Pas, sedangkan Pas bawa Islam. Selepas kita mati, Melayu tidak ada guna, Cina tak ada guna, Arab tak ada guna.., yang guna Islam dan bertakwa kepada Allah," katanya.
Jelas beliau, jika isu pembangunan yang menjadi punca UMNO memusuhi Pas, ia tidak sepatutnya berlaku kerana beliau mendakwa Pas juga membawa pembangunan kepada negeri yang diperintah.
Nik Abdul Aziz berkata, sehubungan itu beliau meminta tokoh-tokoh UMNO agar menimbangkan permintaannya itu.
Sumber UTUSAN..
""EpOoL De DrAgONiZeR""
No comments:
Post a Comment