Akhir-akhir ini, ramai antara rakan aku bertanya kepada ku, mengapakah aku bertindak kejam dan kebudak-budakan.
Aku menjawab mereka dengan persoalan, "tindakan apa pulak ni.. mana ada pun?". Aku agak pelik sebenarnya dengan pertanyaan mereka itu kerana setahu aku, tidak pernah pula aku menjadi kejam mahupun bersifat kebudak-budakan sepertimana kata mereka. Lalu salah seorang daripada mereka menambah, "kenapa gaduh dengan @***..?". Aku yang mendengar perkataan tersebut menjadi 'errrrrrrrrrrrrrrrrrr'. Bingung sekejap dek terkesima.
Jawapan aku pada mereka cukup mudah, "laaa mana ada laa. ada ke nampak? takde kan. ish merepek je".
Rupa-rupanya helah aku untuk berdalih dari mereka ternyata sia-sia sedangkan mereka sudahpun dibekalkan dengan cerita yang lengkap. Cuma, kenyataan yang sebenar bukanlah 'gaduh' tetapi 'tidak bertegur'. Namun pada ku, tidak kisahlah apa pun yang mereka fikir mengenai perkara tersebut. Hakikatnya, aku lebih mengetahui apa yang berlaku.
Tidak perlu untuk aku hebahkan kepada umum atas perkara itu. Cukuplah sekadar aku dan si dia sahaja yang memahami cerita disebaliknya. Aku tidak kisah sedikit pun jika aku dibenci mahupun dipulau oleh mana mana pihak jika lumrah kehidupan telah menetapkan sedemikian. Maka aku harus menerimanya dengan hati yang terbuka. Tambahan, pengalaman lampau sudah cukup untuk mematangkan aku. Hasilnya, aku sedikitpun tidak melatah dek asakan rakan-rakan ku.
Cuma, di blog ini sahajalah tempat aku mencoret dan meluahkan apa yang terbuku diisi hati ku. Bagi ku, aku tidak mahu perkara itu menjadi isu besar hingga mengeruhkan keadaan antara mereka. Biarlah aku dibenci atau dicemuh kerana kehadiran ku dalam komuniti mereka jauh terlewat berbanding tempoh persahabatan mereka semua.
+ + + + + + + + + + + + + + +
Aku juga tidak tahu dari mana hendak aku mulakan. Fikiran aku kosong melainkan yang ada hanyalah si dia. Hurmmmmmmmmmmm. Agak berat sebenarnya permasalahan yang timbul. Ianya melibatkan putaran segi-tiga yang maha kompleks. Ya! Maha bermaksud MAHA kompleks.
Jika dikembangkan perkataan segitiga, bermakna wujud tiga elemen yang mewakili tiga pihak. Jadi dalam firasat ku, sudah agak terang disitu menunjukkan punca konflik.
Jika diimbas kembali coretan aku yang lepas, konflik segitiga ini pernah mewarnai kehidupan ku sebelum ini. Cuma kali ini elemennya berubah secara total menjadikan konflik ini terlalu rumit. Kerana itulah aku meminjam perkataan MAHA.
+ + + + + + + + + + + + + + +
@*** sebenarnya merupakan kekasih hati si dia. Mereka telah mula berkasihan semenjak tahun 2008 lagi. Hubungan mereka menjadi begitu rapat dan intim sehingga terpupuk persahabatan yang kukuh disitu.
Tidak perlu aku sentuh mengenai konflik antara mereka berdua, meskipun ianya wujud ( hasil perkongsian mulut-ke-mulut dari si dia, @*** mahupun si pencetus konflik itu sendiri ). Namun kesemua konflik yang berlaku antara mereka 'sebelum ini' mencerminkan watak sebenar si @***. Harus aku selitkan disini, watak yang aku maksudkan itu bukanlah bersifat buruk malah ianya bersifat baik.
Hinggalah pada akhir 2011, aku muncul dan mengenali si dia ( akan aku coret kemudian ).
Aku langsung tidak mengetahui disebalik perhubungan aku dengan si dia, wujud @*** yang merupakan kekasih hati si dia sejak kesekian lamanya sebelum kehadiran aku. Namun itu cerita lama. Perlu aku abaikan.
Aku akui, pernah bersahabat baik dengan @***. Sejujurnya aku gembira dengan persahabatan itu. Namun disebalik persahabatan tersebut, aku tidak mampu menyembunyikan rasa cemburu aku terhadap hubungan mereka berdua. Al-maklumlah, aku ini bukannya maksum seperti Rasul malahan cuma insan biasa yang punya hati juga perasaan. Tapi dek atas nama 'sahabat', aku senyumkan jua.
Tidak perlu rasanya aku hebahkan, sejauh mana pelayaran hidup ku dengan si dia. Cukuplah dengan menggunakan frasa, cukup bahagia. Namun jauh disebalik 'bahagia' itu, tersimpan satu jarum yang mampu membuat hati ku luka. Secara logiknya, jika jarum mencucuk jari, hanya sekelumit darah yang akan terpacul. Namun jika jarum yang sama mencucuk acap kali berhari hari, mustahil luka itu akan kekal sekelumit.
Itulah sebenarnya gelojak yang berlaku dalam hati ku. Namun untuk aku tepis perkara itu ke tepi, memang perlu memakan masa. Malah kerap kali aku timbulkan isu itu kepada si dia. Namun, si dia kerap menasihati aku agar berbuat normal sahaja. Masih terngiang baru-baru ini, si dia ada mengingatkan kepada ku, "jangan hipokrit". Maka aku memegang nasihat si dia itu dengan utuh.
Jadi, apabila kita ditegah untuk berlaku hipokrasi, maka perlulah kita ambil serius larangan tersebut. Tambahan pula ianya datang dari si dia yang aku sayangi.
Aku telah cuba untuk berlaku normal, sepertimana sebelum ini ketika aku dan @*** bersahabat, tetapi kerap kali aku diuji dengan tindakan @*** menimbulkan sentimen ( sengaja atau tidak sengaja, wallahu a'lam ) yang sudah jelas akan membuatkan aku menjadi cemburu. Jadi bagaimana boleh untuk aku berlagak biasa? Sudah pasti akan gagal. Si dia juga terlalu kerap meminta aku berbuat seperti biasa, tetapi mana mungkin. 'Sedangkan orang yang marah, lagi ditampar', itulah diibaratkan hati aku ini.
Tapi, tidak mengapalah. Bukan jenis aku, untuk menghebah-hebahkan cerita pada umum. Maka biarlah yang hebat, terus menjadi kuat. Aku tetap seperti ini. Tiada apa yang dapat aku ubahkan. Aku telah cuba lakukan sebaik yang mungkin sebelum ini untuk menjadi sahabat tetapi dirosakkan dengan propaganda ( yang mungkin tidak disengajakan ). Maka haruslah aku terima buruk baiknya. Namun aku akan terus mengunci mulut ku ini. Pada rakan rakan, aku akan terus mengukir senyuman. Ya, senyuman. Meskipun aku tahu, senyuman ku itu bakal mengundang jelik mereka semua. Selanjutnya, biarlah hati aku yang menyimpan penjelasan khusus.
Sekian.
Assalamu'alaikum.
No comments:
Post a Comment