Sunday, November 17, 2013

CINTA KETIGA : SINAR BAHAGIA YANG DATANG

Tatkala mengelamun seorang diri semalam, fikiran aku melayang sejenak terimbau kisah bagaimana aku mengenali si dia. Ya, si dia yang kini menjadi teman hidup ku.

Bermula awal Disember 2011, aku berpindah dari kampung halaman ku di Klang ke Setapak, Kuala Lumpur. Maka bermulalah kehidupan aku bersendirian di sebuah kota Metropolis. Niat aku mahu cuba untuk hidup berdikari. Seingat aku, pernah aku coretkan mengenainya sebelum ini.

Tidak sampai 2 minggu aku bermastautin di sini, rakan serumah ku Ayie memberitahu sesuatu, "Epul, aku nak g jumpa seseorang ni. Jom temankan aku, aku seganlah". Aku pun bertanya siapa insan 'malang' tersebut dengan nada gurauan. Jawabnya ringkas, 'ehem ehem'. Aku ketawa kecil. Lalu dia menyambung cerita bagaimana dia boleh mengenali insan tersebut. Aku yang mendengar cerita Ayie menjadi teruja lalu bersetuju.

Kaki kami melangkah ke Restoran Bintang Tujuh. Aku, Ayie & Achik masing-masing tidak henti bercerita mengenai hal pertemuan tersebut yang mana pada kami agak mengujakan. Ini kerana menurut Ayie, mulanya dia terpaut pada kecomelan wajah kawan insan tersebut. Namun lain pula hal nya sewaktu berkenalan, kawan kepada insan tersebut menyatakan yang dia pula telah terpaut pada Ayie. Makanya, Ayie memilih insan tersebut.

"Dorang da sampai dah!", kata Ayie dengan resah bercampur teruja, sambil ditangannya memegang telefon bimbit. Tiba-tiba aku terpandang wajah seseorang yang melintasi meja kami, namun pandangan itu aku kerling dengan ego dan ku biarkan berlalu pergi.

Alangkah tersentaknya aku apabila Ayie menyapa orang itu. "Ehhhh W** H****! Waa laju je berjalan sampai tak perasan pun. Haha.". Bila mendengar nama itu barulah aku mengerti mengapa Ayie terpaut pada empunya nama itu. Lalu kami pun bersalaman memperkenalkan diri. Mereka bertiga bernama @f**, H***** & P**Y*. Ayie mempelawa mereka duduk dimeja kami dan terus berbual. Aku yang duduk di sebelah Achik terus berborak antara kami tanpa mencelah perbualan hangat antara mereka dan Ayie. Pertemuan dalam hampir sejam itupun berakhir dengan @f** meminta diri.

Sewaktu dirumah, tiada lain dalam fikiran ku hanyalah memikirkan tentang hal rumah untuk dihias, dibersih dan dirapi. Tiba-tiba Ayie berlari mendapatkan aku dan berkata "Kawan @f** kirim salam kat kau wei.. Untunggg laaaa". Aku terkedu seketika. Lalu aku pergi mendapatkan cermin di bilik air dan ku tatap wajah buruk ku. "Hurmmm. Kau kirim salam je la balik kat dia", balas aku ringkas kepada Ayie. Sebenarnya dalam fikiran ku, yang menyampaikan salam itu bukanlah H**** tetapi rakan mereka yang ketiga. Namun Ayie sekali lagi berlari mendapatkan ku dan berkata, "Dia mintak nombor fon kau. Aku bagi ehhhh". "Bagi je laa weiii", respon ku pendek seperti kurang berminat

Keesokan harinya, sewaktu aku berada di pejabat, fon aku berdering. Satu pesanan mesej diterima dari nombor 016. "Hai. Ni kawan @f** yang semalam tu". Agak teruja apabila aku membaca pesanan ringkas itu lalu membalas, "Ni yang mana satu eh?". Sebenarnya aku masih dengan pendirian bahawa pesanan itu bukanlah dari H****. "Sentap kejap. Smpai hati xknal". Apabila membaca mesej tersebut dan seterusnya, barulah aku yakin bahawa yang menghantar pesanan itu sememangnya H****. Hari itu aku seakan-akan dilamun cinta kembali. Kami terus berbalas pesanan ringkas sehingga aku hampir terlupa kertas kerja dihadapan ku ketika itu.

Tidak sampai seminggu semenjak pertemuan pertama antara Ayie dengan @f**, mereka merancang untuk berjumpa sekali lagi. Tetapi kali ini, @f** turut mengajak aku atas pelawaan H****. Lalu kami berempat menuju ke sebuah pusat karaoke yang terletak di Brem Mall, Kepong. Amat mengejutkan tatkala H**** mendendangkan lagu pertama dari Breory Marantika, aku terpegun mendengar kelunakan suaranya. Hampir sahaja aku menitiskan airmata kerana pembawakan suaranya akan-akan seiras suara WS suatu ketika dahulu.

Selesai kami beradu suara, kami membasahkan tekak di restoran berhampiran. Sambil itu kami meneruskan perbualan dengan kisah-kisah lucu. Sejujurnya, aku tidak pernah merasa sebahagia itu semenjak berlakunya peristiwa hitam WS dan AIBA. Malam itu merupakan malam paling menggembirakan dalam hidup ku. Sebelum kami berpisah, H**** meninggalkan pesan padaku agar memandu dengan cermat dan jangan berhenti untuk terus bermesej. Temujanji pertama kami berakhir disitu.

Tanggal 13 Januari 2012 merupakan tarikh keramat untuk aku dan H****. Pada hari tersebut, aku dan si dia telah bertemu sekali lagi. Namun pertemuan itu bukanlah pertemuan biasa, malah ianya merupakan pertemuan penuh bermakna. Dalam pertemuan tersebut, aku dan H**** telah sepakat bersetuju untuk menjadi pasangan hidup dimana kami berdua telah 'declaired''. Aku menitiskan airmata kegembiraan ketika itu kerana si dia telah mengembalikan sinar yang selama ini kelam dalam hidup ku.

TERIMA KASIH, SAYANGKU. Aku amat menyayangi dirimu.

Telah aku markahi tanggal 13 Januari dalam takwim hidup ku, sebagai tarikh yang penting untuk dikenang, kembalinya sinar kebahagiaan dalam percintaan.

13 Januari 2102 - 13 Januari 2013 ( Setahun )
13 Januari 2013 - 13 Januari 2013 ( Dua tahun - InsyaAllah )

Sekian.

No comments: