Tuesday, October 11, 2011

TINDAKAN JAIS BETUL! : TITAH SULTAN SELANGOR

Kemelut yang membelenggu Kerajaan Negeri  Selangor dan JAIS kini telah
selesai setelah Sultan Selangor bertitah.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, bahawa tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu sebuah gereja di Petaling Jaya Ogos lalu adalah tindakan yang betul dan tidak menyalahi undang-undang yang dikuatkuasakan di negeri ini.

Baginda bertitah, tindakan tersebut adalah selaras dengan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan Enakmen Ugama Bukan Islam Selangor 1988.

Titah baginda lagi, merujuk kepada siasatan JAIS, terdapat keterangan bahawa ada cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan akidah umat Islam tetapi bukti yang diperoleh tidak mencukupi untuk diambil tindakan undang-undang.


“Oleh itu setelah meneliti dengan mendalam laporan JAIS dan setelah mendapat nasihat dari pakar-pakar agama dan undang-undang, Beta bersetuju tiada pendakwaan akan dibuat terhadap mana-mana pihak. Walau bagaimanapun, Beta menitahkan JAIS memberi kaunseling kepada orang Islam yang terlibat dalam majlis tersebut supaya akidah dan kepercayaan mereka terhadap agama Islam dapat dipelihara dan dipertingkatkan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam satu kenyataan kepada media siang tadi.

Baginda juga melahirkan rasa amat tersinggung dengan usaha-usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di Selangor.

Justeru, baginda menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS agar memantau rapi serta mengambil tindakan sewajarnya tanpa teragak-agak terhadap usaha itu.

DAULAT TUANKU!!!


""EpOoL De DrAgONiZeR""

LUAHAN HATI Rakan Artis Mengenai Pemergian Allahyarham Datuk Ahmad Jais

Pemergian Allahyarham Datuk Ahmad Jais yang kembali ke Rahmatullah 11 Oktober semalam, amat dirasai oleh peminat seluruh negara dan pelusuk nusantara, termasuk rakan-rakan artis. 

Presiden KARYAWAN & Bekas Penyanyi 70-an, Datuk Freddie Fernandez

Menurut Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez yang ditemui di Masjid Negeri Shah Alam, perginya Ahmad Jais merupakan satu kehilangan besar kepada industri muzik tanah air khususnya pada irama pop yeh yeh.

Pencapaiannya sangat besar dalam industri muzik dan dia merupakan legenda. Beliau merupakan ahli persatuan Karyawan yang sangat aktif dan bersedia membantu rakan-rakan dalam persatuan tidak kira masa dan tenaga,” ujar Freddie.

Mengulas lanjut, kata Freddie, 58, Allahyarham juga dikenali oleh seluruh kaum tidak kira Melayu, India dan Cina kerana kelunakan suara dan lagu-lagunya yang sangat malar segar. Disebabkan itu sehingga kini Ahmad Jais masih menerima jemputan menyanyi di majlis-majlis.

Saya sedih sebab dia tidak sempat menyanyi untuk jemputan nyanyian di masa akan datang sedangkan banyak jemputan yang diterimanya,” katanya yang sempat melawat Allahyarham ketika beliau koma di DEMC.

Penyanyi 80-an, Salamiah Hassan

Tiada apa yang mampu diucapkan selain melahirkan perasan sedih yang amat sangat. Itulah yang dialami penyanyi veteran tersohor, Salamiah Hassan, 60, meluahkan rasa sedih dan terkejut di atas pemergian Ahmad Jais. Kali terakhir, ibu kepada penyanyi genit Atilia itu berjumpa dan berduet bersama Ahmad Jais untuk lagu Berdebar-Debar ketika mengadakan persembahan pada jamuan rumah terbuka raya Suruhanjaya Komunukasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Hotel Legend, Kuala Lumpur pada 16 September lalu.

Itulah kali pertama dan juga terakhir kami berduet bersama. Sebelum ini, lagu Berdebar-Debar merupakan lagu duet kami untuk album dan kami tidak pernah berduet untuk persembahan khalayak bersama,” katanya dengan nada sedih ketika dihubungi semalam.

Ketika berduet pada malam rumah terbuka raya tersebut, Salamiah memberitahu, keadaan Allahyarham tidak begitu sihat dan pernafasannya kedengaran tersekat namun beliau tetap cekal untuk menyanyi dan menghiburkan tetamu. Semangatnya begitu kuat dan suaranya masih jelas mantap kedengaran di telinga Salamiah. Melihat kepada rakan duetnya yang sudah tiada, pinta Salamiah agar nasib artis-artis veteran yang lain supaya lebih terbela.

Janganlah bila mereka sudah tiada nanti baru nak ingat dan diangkat. Masa ketika tua mereka perlukan sokongan dan bantuan daripada mana-mana badan,” katanya lagi.

Penyanyi 70-an, Datuk D.J. Dave

Sementara itu, penyanyi Datuk DJ Dave yang turut ditemui memberitahu bahawa Allahyarham adalah penyanyi yang sangat diminatinya dari dulu sehingga sekarang. Ujarnya, dia begitu meminati penyanyi tersohor itu kerana tertarik dengan suara unik yang dimiliki dan mereka kerap membuat persembahan bersama-sama sekitar era 70-an dan 80-an.

Lagu berjudul Azizah yang dinyanyikan oleh arwah adalah merupakan lagu Melayu kedua yang saya dengar dan saya terus tertarik dan kagum dengan bakat yang dimilikinya itu. Sebagai seorang yang sudah berpuluh-puluh tahun berkecimpung sebagai penyanyi, arwah sememangnya seorang anak seni yang sudah banyak berjasa dalam industri hiburan tempatan,” jelasnya.

Penulis Blog, Daitei Epool Rikafuren

Berkenaan dengan sikap peribadi yang dimiliki oleh penyanyi legenda berkenaan, rata-rata rakannya menganggap arwah sebagai seorang individu yang suka bergurau terutama dengan rakan-rakan di sekelilingnya. Telatah Allahyarham yang gemar bergurau kerap mengundang tawa rakan-rakan mahupun petugas media.

Bagi penulis blog, Daitei Epool Rikafuren, 23, dia amat terkejut dengan berita tersebut. Dia yang amat menggemari lagu-lagu arwah kerap mendendangkannya ketika berkaraoke mahupun dipersembahan pentas tertutup.

Penyanyi 70-an, Datuk Sharifah Aini

Biduanita negara, Datuk Sharifah Aini atau Kak Pah, 58, yang terkejut dengan pemergian arwah memberitahu bahawa dia sudah menganggap penyanyi tersebut sebagai seorang abang setelah berkenalan sejak tahun 1965.

“Sepanjang 46 tahun saya berkawan dengannya, memang kami agak rapat kerana selalu membuat persembahan bersama-sama. Bagi saya, arwah seorang yang sangat suka bergurau dengan sesiapa sahaja. Antara gurauannya yang paling saya ingat apabila dia asyik bertanyakan tentang bila saya mahu berumah tangga. Bila mengenangkan gurauannya itu kembali, memang saya berasa teramat sedih,” ujarnya yang tidak dapat menahan sebak ketika ditemubual.

Ditanya sama ada beliau sempat menziarahi arwah sepanjang berada di hospital, Kak Pah memberitahu dia sempat melawat pada minggu lalu tetapi pada masa itu arwah dalam keadaan tidak berkata-kata.

Penyanyi 60-an, Datuk A. Rahman Hassan

Seorang lagi penyanyi yang popular sekitar tahun 1960-an, Datuk A. Rahman Hassan, 64, ketika ditemui berkata, arwah dianggap sebagai sebutir permata yang sangat berharga. Menurutnya, biarpun sudah berkecimpung dalam bidang seni suara hampir 50 tahun, namun namanya masih lagi menjadi sebutan ramai dan mempunyai peminat yang tersendiri.

Tidak dinafikan kebanyakan lagu-lagu dinyanyikan arwah adalah lagu evergreen yang masih diminati sehingga hari ini. Jadi, sudah sewajarnya dia diangkat sebagai salah seorang penyanyi legenda negara,” jelasnya.

Bagaimanapun, di sebalik sikap penyanyi berkenaan yang suka bergurau, A. Rahman memberitahu bahawa arwah mempunyai sikap yang cukup tegas terutama dalam membuat sesuatu keputusan.

Memang adakalanya ada sebilangan orang yang akan kecil hati dengan sikap ketegasannya itu, namun sepanjang mengenali dirinya dia sebenarnya adalah seorang individu yang sangat baik hati,” ujarnya.

Pelakon Veteran, Datuk Aziz Sattar

Sementara pelakon veteran terkenal, Datuk Aziz Sattar, 86, pula berkata, pemergian penyanyi legenda itu adalah sesuatu yang sukar untuk dicari ganti dan jasanya dalam bidang nyanyian tidak harus dilupakan sama sekali.

Sebagai artis veteran hubungan kami sememangnya cukup rapat dan sepanjang mengenalinya arwah adalah seorang insan yang cukup istimewaPerjuangannya sebagai seorang anak seni selama berpuluh-puluh tahun harus dijadikan contoh kepada penyanyi-penyanyi generasi sekarang,” ujarnya.

.. DALAM KENANGAN ..
'Permata Seni Suara Tanah Air Yang Sukar Di Cari Ganti'
ALLAHYARHAM DATUK AHMAD JAIS

Perginya Ahmad Jais sangat dirasai buat peminat-peminat yang menggilai suara dan lagunya. Hanya lunak suara dan lagu-lagu popularnya seperti Di Ambang Sore, Azizah dan Budi Setahun Segunung Intan yang tinggal sebagai kenangan.

Menyahut panggilan Ilahi, Allahyarham Ahmad Jais telah pergi meninggalkan kita semua selepas dikhabarkan rakan perjuangannya mengenai kebaikan dan keceriaan yang disalurkan ke dalam hidup mereka.




""EpOoL De DrAgONiZeR""

AL-FATIHAH BUAT DATUK AHMAD JAIS

Penyanyi veteran popular, Datuk Ahmad Jais telah dilaporkan meninggal dunia hari ini, 11 Oktober 2011. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.30 pagi tadi di Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam.


Allahyarham yang mengadu sesak nafas telah dikejarkan ke Hospital Pakar KPJ Shah Alam pada 8 September lalu untuk diberi rawatan pernafasan. Allahyarham kemudiannya dipindahkan ke Unit Rawatan Separa Rapi DEMC pada 25 September lalu kerana Allahyarham mempunyai rekod rawatan yang di situ.

Jenazah Allahyarham telah disembahyangkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam dan telah dikebumikan selepas Solat Zohor di Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam. Antara rakan artis yang turut menziarahi pengebumian Allahyarham adalah Datuk A. Rahman Hassan, Datuk Sharifah Aini, Datuk Aziz Satar, Seniwati Uji Rashid, Seniman Hail Amir dan Ibnor Riza.

Allahyarham yang dilahirkan pada 1936 di Kapar, Klang, Selangor Darul Ehsan telah meninggalkan 5 orang cahaya mata dan 13 orang cucu. 

Allahyarham Datuk Ahmad Jais sewaktu membuat persembahan

Allahyarham Datuk Ahmad Jais ketika hayatnya cukup popular dengan lagu seperti Umpan Jinak Di Air Yang Tenang, Gelisah, Budi Setahun Segunung Intan, Bahtera Merdeka dan banyak lagi. Allahyarham juga pernah dinobatkan sebagai Penyanyi Bersuara Emas kerana kelunakkan suaranya yang memukau selain pernah dianugerahkan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran 'Datuk' pada 2006.
+
+
+
- لفاتحة‎ا -
+
+
+
+
+
""EpOoL De DrAgONiZeR""

Monday, October 10, 2011

TARIKH YANG SUDAH TIDAK BERERTI

10 . 10 . 2011

Suatu ketika dahulu,
aku tersenyum tatkala merenung kalendar,
tajam melihat tarikh 10 haribulan 10,
yang berlalu pada setiap tahun.

2008 merupakan tahun permulaan,
10 haribulan 10 dicatat dalam diari kehidupan,
berbunganya percintaan,
diantara dua insan.

2009 adalah tahun pertama,
10 haribulan 10 sekali lagi menjelma,
dirai dengan penuh gembira,
tanda jayanya menempuh ranjau dan kelana.

2010 pula tahun kedua,
sungguh gembira kerana 'dia' tak lupa,
dan kami sambut dengan hanya berdua,
sambil bercerita kisah bahagia.

2011 kini tahun ketiga,
namun tiada siapa yang menjangka,
kisah percintaan sudah tiba hujungnya,
ditamatkan pada bulan tiga.

Terima kasih aku sampaikan,
buat kau yang aku kasihi,
semoga tercapai cita-cita yang kau impikan,
jangan dilupa berdoa selalu kepada Ilahi.

""EpOoL De DrAgONiZeR""