'Aku' di dalam cerita ini, merupakan seorang rakan karibku, yang amat aku sayangi. Aku memanggilnya 'W'. Dia menceritakan kisah dukanya kepada aku. Aku amat bersimpati terhadapnya. Berikut merupakan cerita 'W' :-
Aku sedang duduk berseorangan, menongkat dagu dan termenung. Ya, termenung jauh mengenangkan nasib perjalanan hidupku yang penuh dengan onak duri. Mungkin tatkala ini, ramai sahabat handai mahupun kenalan rapat menyangka aku sedang bergembira dan bahagia melayari bahtera kehidupan berumahtangga. Namun, hakikat yang menimpa diriku adalah sebaliknya. Disini, aku ingin berkongsi sedikit kisah tentang diriku. Mungkin, boleh dijadikan pengajaran dan pedoman untuk yang lain.
-------------------------------+
Seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri 2016, aku menyampaikan hasrat kepada Ibu untuk bertandang ke rumah seorang kawan perempuan aku. Biarlah aku menggelarnya Nufi. Ibu yang mendengar hasrat ku terus bersetuju. Tampak jelas kegembiraan yang terpancar diwajahnya. Yelah, manakan tidak. Aku pernah memberitahu pada Ibu bahawa aku tidak ingin mendirikan rumah tangga kerana belum bersedia, meskipun umur aku sudah mencecah 28tahun. Tiba-tiba sahaja, aku mengajak Ibu untuk bertandang raya ke rumah seorang kawan perempuan. Ibu menjadi sangat teruja. Aku terus menghubungi Nufi memberitahu yang aku akan pergi beraya ke rumahnya bersama dengan Ibuku. Nufi yang mendengar agak terkejut dan resah. Ya lah, tak pernah-pernah lagi ada lelaki nak datang beraya ke rumah Mak dia, dengan Ibu nya sekali pula tu. Nufi bersetuju dan sedia menerima aku dan Ibu sebagai tetamu.
Maka, pada suatu Hari Sabtu, Aku, Ibu dan Ain (adik perempuan aku) pun bersiap untuk beraya ke rumah Mak Nufi. Pelan aku hari itu selepas bertandang raya, aku mahu singgah ke rumah aku di Setapak untuk menghantar beg bagasi. Setelah kami bertiga siap, aku pun terus memandu ke rumah Mak Nufi di Sg. Besi. Di dalam kereta, Ibu banyak bertanya mengenai Nufi, namun aku hanya menjawab, dia tidak lebih dari seorang kawan perempuan, baru-baru nak kenal rapat.
Sampai sahaja di rumahnya, Nufi dan Kakak Sulungnya menyambut kedatangan kami dan mempelawa kami masuk. Kami pun berbual bual sambil menikmati hidangan yang dimasak oleh Mak Nufi. Selepas selesai, kami pun meminta diri. Sedang aku menyarung kaki ke dalam sandal, keluar satu soalan dari mulut kakak Nufi. "Akak nak tanya ni, sebenarnya macam mana hubungan korang berdua ni??". Aku yang mendengar menjadi terkedu. Tidak tahu untuk memberi respon bagaimana. Lalu aku pun menjawab dengan tersekat sekat, "sebenarnya Kak, saya dengan dia ni berkawan. Cuma..........", belum sempat aku menghabiskan kata-kata aku, Ibu terus menyambung, "saya tak kisah pun kalau ada jodoh ke, macam mana ke, saya terima je, sebagai Ibu". Lalu, mereka berdua pun mula berlinang airmata sambil memohon agar sesuatu yang baik berlaku antara aku dan Nufi. Aku pula?? Aku hanya mampu tersenyum sipu sambil memandang Nufi. Nufi juga membisu sambil menyimpul senyuman.
Kami bertiga pun pulang. Aku terus memandu kereta dengan fikiran yang terawang-awang dek soalan kakak Nufi itu. Aku terpegun kerana tidak menyangka soalan tersebut akan keluar dari mulut kakak Nufi, sedangkan aku tidak pun bersedia untuk menjawab. Tambahan lagi dengan Ibu pula yang bersuara menyambung kata-kata kakak Nufi itu. Aku hanya tersenyum, diam sambil memandu. Tiba-tiba, Ibu bersuara memecah sunyi di dalam kereta. "Kata nak hantar beg pergi Setapak, ni dah kenapa kau bawak kereta sampai Setia Alam dah ni?". Aku sampai terlupa untuk menghantar beg bagasi ke rumah aku dek mengenangkan kata-kata Ibu dan kakak Nufi tadi. Lalu aku pun memberitahu Ibu, esok sahaja aku hantar ke Setapak.
Bermula dari saat itu, Aku dan Nufi sering bermesej. Kami menjadi semakin rapat. Niat aku adalah untuk merubah masa silam aku. Begitu juga dengan Nufi. Kami berdua berkongsi kisah silam yang sama. Jadi, kami tahu cerita diri masing-masing.
Kami melangkah satu tapak ke hadapan. Dalam tempoh yang agak singkat, Nufi meminta aku dan keluarga bertandang menyampaikan hasrat hati untuk mengikat tali pertunangan. Meskipun aku secara peribadi merasakan terlalu cepat, namun Ayah bersuara mengatakan tidak perlu berlengah untuk sesuatu yang baik. Aku pun menurut kata Ayah. Aku turut memanjang perkara ini kepada dua orang Ibu Saudara aku. Masing-masing ternyata terkejut dengan berita gembira dan menyambut baik hasrat aku itu.
Lalu, satu tarikh pun disepakati oleh kedua belah pihak keluarga untuk majlis tersebut. Aku mengajak Nufi membeli sebentuk cincin. Lalu Nufi membawa aku ke sebuah kedai emas di sekitar Sg. Besi. Menurut Nufi, kedai emas itu merupakan kedai kebiasaan Mak Nufi mencari cincin dan gelang emas. Bak kata orang tua-tua, untuk menghantar tanda, sebaiknya 'cincin belah rotan'. Maka aku pun mencari cincin yang berkenan di hati Nufi. Selesai membeli, aku pun bawa pulang dan meminta Ibu untuk menyimpannya.
Sampailah tarikh yang ditunggu-tunggu. Berdebar rasa hati, untuk melangkah ke satu tahap yang baru dalam hidup aku. Aku seperti tidak percaya, bahawa diri aku akan capai ke tahap ini. Sesekali, aku cubit diri sendiri, sakit!. Ya lah, terasa macam mimpi pula. Teruja aku sendiri. Ibu, Ayah, Adik Beradik, Sepupu, Makcik, Pakcik, semua yang ada masa lapang, sudah sedia untuk berangkat menghantar cincin ke rumah Mak Nufi. Nufi memberitahu kepada aku melalui pesanan SMS, yang dia berdebar. Jangankan dia, aku sendiri tidak keruan jadinya. Ya lah, manakan tidak. Diri sendiri tidak pernah terlintas akan bergelar tunangan orang. Dalam beberapa detik lagi, semuanya akan menjadi kenyataan. Aku berdoa kepada Tuhan agar memudahkan perjalanan majlis tersebut, insyaAllah.
Apabila tiba di rumah Mak Nufi, ahli keluarga aku disambut oleh ahli keluarga Nufi dan dipelawa masuk. Semuanya berjalan dengan penuh adat. Ikut kata orang tua-tua, selagi mana kita hidup, adat jangan pernah dilupakan. Maka, berjalanlah majlis tersebut, disuarakan oleh Ayah aku, dan disambut oleh Abg Ipar Nufi, mewakili keluarganya. Cincin pun diserahkan kepada pihak Nufi. Waktu itu, aku seperti mahu menangis kerana status aku akan berubah selepas selesai majlis tersebut. Tapi, aku lelaki. Aku tidak patut menangis. Kegembiraan yang berdetak dalam diri aku tidak lagi dapat aku ungkapkan. Melihat Ibu menyarung cincin dijari Nufi, sudah cukup membuatkan aku sekali lagi terawang-awang. Aku bergelar Encik Tunang sejak dari itu. Dalam hati, menginginkan satu tahun untuk aku mempersiapkan semuanya. Namun, Nufi menyatakan agar dipercepatkan sahaja, mana yang wajib. Tiga bulan sudah mencukupi. Aku tidak terus memberi respon ketika itu. Namun setelah diperbincangkan oleh kedua keluarga, maka dipersetujui untuk diikat selama enam bulan.
Alhamdulillah, selesai bahagiañ pertama, melangkah ke fasa baru dalam hidup aku. Aku kini Tunangan Orang. .. .. .. .. .. ..