Tuesday, July 13, 2010

Waris Keturunan Puteri Saadong Palsu???

Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan tidak mengiktiraf seorang gadis yang mengaku sebagai kerabat keturunan ketujuh Puteri Saadong berasal daripada keturunan Raja Jembal.


Pengerusi pertubuhan, Nik Yusuf Nik Muhamad berkata, terdapat keraguan terhadap dakwaan tersebut kerana mereka sudah mengenal pasti latar belakang dan nama sebenar gadis itu yang disyaki bukan keturunan sebenar Puteri Saadong.

"Kita tidak mengiktiraf pengakuan gadis itu dan semua dakwaannya diragui kebenarannya," katanya kepada Bernama di sini.

Nik Yusuf berkata, pertubuhan itu sedang menyiasat dakwaan gadis tersebut dengan mendapat pandangan daripada Persatuan Sejarah Negeri Kelantan dan Perbadanan Muzium Negeri.

Katanya, satu seminar juga akan diadakan bagi mencari titik pertemuan untuk menentukan kesahihan legenda Puteri Saadong dan salasilahnya.

Beliau berkata, pertubuhan itu mengakui rupa paras Raja Tengku Putri Anis Raja Sazali, 24, seiras dengan kerabat Raja Jembal.

Bagaimanapun, kata beliau, dakwaan bahawa Putri Anis adalah waris keturunan ketujuh Puteri Saadong masih tidak diiktiraf.

Nik Yusuf berkata, pihaknya terkilan kerana Putri Anis membuat pengakuan itu tanpa merujuk terlebih dahulu kepada pertubuhan itu.

Katanya, upacara pemasyhuran Putri Anis sebagai Sri Ratu Ketujuh Saadong sempena mengakhiri sumpahan tujuh keturunannya baru-baru ini tidak wajar dilakukan sebelum dakwaan berkenaan dibuktikan.

Beliau berharap gadis itu dapat mengadakan pertemuan dengan pertubuhan berkenaan yang mempunyai lebih 2,000 ahli untuk mengkaji salasilah dan kebenaran dakwaannya itu.

Sementara itu, Dr. Zahari Mat Ali yang merupakan pembantu peribadi Putri Anis tetap mempertahankan bahawa puteri tersebut merupakan kerabat keturunan ketujuh Puteri Saadong.

Sehubungan itu, kata beliau, Putri Anis akan mengadakan satu majlis penerangan di sini mengenai status beliau dalam masa terdekat.

Menurutnya, Putri Anis menjemput semua pihak termasuk ahli Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan dan pakar sejarah menghadiri majlis tersebut.

"Majlis penerangan itu diharapkan dapat menjawab semua keraguan yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak semua ini," katanya ketika dihubungi semalam.

Abang Putri Anis, Raja Putera Eedi turut kesal terhadap Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan yang mengulangi kenyataan tidak mengiktiraf adindanya sebagai kerabat keturunan ketujuh Puteri Saadong.

Beliau berkata, Putri Anis sebelum ini pernah menyatakan kesediaan bersemuka dengan wakil pertubuhan tersebut bagi menjelaskan isu itu tetapi tidak memberi sebarang persetujuan.

"Pertubuhan itu sepatutnya bertemu dan berbincang dengan Raja Tengku Putri Anis sebelum mengulangi kenyataan tersebut,'' katanya.


""EpOoL De DrAgONiZeR""

No comments: