NYAMUK AEDES PENYEBAB DENGGI |
5 DISEMBER 2014 (JUMAAT)
Hari ini aku bekerja seperti biasa. Walaupun badan aku sudah mula rasa lemah sejak Rabu lepas, namun kerana tanggungjawab terhadap kerjaya aku gagahkan.
Sampai sahaja di pejabat, aku tak dapat buat kerja seperti biasa. Aku rasa terlalu lemah sehingga aku hanya mampu meletakkan kepala di meja. Seharian aku begitu. Tepat jam 6 petang, semua rakan pejabat meminta aku untuk pulang dan berehat sahaja di rumah.
6 DISEMBER 2014 (SABTU)
Aku terjaga seawal 6.00 pagi kerana terlalu sakit di bahagian kepala. Setelah mengejutkan Omar (sahabat sejati ku) untuk bersiap kerja, dia pula memaksa aku untuk ambil MC kerana khuatir akan kesihatan aku.
Jam 9.00 pagi, aku menuju ke Klinik Dr Ng yang terletak berhampiran rumah aku. Setelah diperiksa, Dr. Ng tidak meneruskan rawatan sebaliknya memaksa aku supaya mendapatkan rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana mengesyaki Denggi. Dalam hati aku sudah mula risau dan tidak sedap.
Aku pulang semula ke rumah dan berehat. Dalam pada itu, aku memberitahu Omar tentang kata-kata Dr Ng namun merahsiakan dari pengetahuan ayah ibu kerana risau mereka akan susah hati.
Jam 11.30 pagi, aku perlahan-lahan berjalan menyeberangi Jalan Setapak untuk mendapatkan bas. Setelah sampai di HKL, aku terpaksa menapak ke Unit Rawatan Pesakit Luar yang terletak agak jauh dari pintu masuk utama. Setelah menunggu hampir 2 jam, akhirnya pegawai perubatan tu mengambil darah dan membuat ujian. Alhamdulillah, doktor mengatakan aku hanya demam biasa sahaja, perlukan banyak minum air masak dan berehat.
Jam 2.00 petang, Omar tiba di HKL untuk menemani aku, namun terlewat. Sudahnya, dia hanya mengambil dan menurunkan aku di hentian bas hadapan HKL dek mengejar masa untuk masuk semula ke pejabat kerana sudah melebihi waktu lunch.
Aku hanya mampu merehatkan diri di rumah sahaja. Langsung tiada kekuatan untuk keluar. Setelah menjamah roti yang aku beli di kedai runcit bawah rumah, aku terus meneguk ubat dan tidur.
7 DISEMBER 2014 (AHAD)
Hari ini aku minta Omar hantar aku ke rumah Ibu. Demam aku masih belum kebah lagi. Aku minta Ibu untuk masak kan Sup Ketam kerana menurut kata orang-orang tua, Sup Ketam dapat mengurangkan demam denggi. Jadi, bila sampai sahaja kami di sana petang tu, kami terus menjamah.
Bila jam menunjukkan 8.30 malam, Omar meminta diri untuk pulang ke Setapak namun tidak membenarkan aku untuk ikut bersama. Alasannya, biarlah aku di rumah Ibu kerana di Setapak tiada siapa boleh menjaga ku.
8 DISEMBER 2014 (ISNIN)
Aku masih tidak menunjukkan rasa demam akan kebah mahupun berkurangan. Lantas, aku minta Ibu menelefon Team Leader tempat aku bekerja untuk maklum mengenai situasi aku. Sejurus itu, Ibu membawa aku ke Klinik Centinel di Meru untuk mendapatkan ubat dan cuti sakit.
Seharian aku hanya berehat sahaja di rumah Ibu. Badan aku memang sangat lemah. Aku sendiri bingung kerana seumur hidup aku, itu lah kali pertama aku demam melebihi 3 hari berturut-turut.
9 DISEMBER 2014 (SELASA)
Hari ini aku masih bercuti. Aku dapat rasa demam aku sedikit berkurang. Setelah mendapat tahu Omar pun bercuti hari tersebut, aku meminta dia untuk datang mengambil aku di rumah Ibu. Hari itu aku cuba mengelak dari berehat sepenuhnya dengan mengemas rumah dan banyakkan bergerak.
Omar tiba di rumah Ibu jam 4.00 petang bersama dengan Shai, rakan serumah kami. Setelah kami semua menjamah sedikit masakan yang Ibu sediakan, kami pun pulang ke Setapak.
Malam tersebut, aku merasakan demam aku kembali menyerang. Namun, aku abaikan sahaja kerana tidak mahu ianya melemahkan aku.
10 DISEMBER 2014 (RABU)
Sekali lagi aku terjaga seawal 6.00 pagi. Cuma bezanya, hari tersebut demam aku sedikit berkurang. Aku terus bersiap ke tempat kerja. Namun, aku masih mengharapkan jasa baik Omar untuk menghantar.
Sampai sahaja aku di pejabat jam 9.00 pagi, semua rakan sepejabat aku melihat aku dengan pandangan semacam. Aku benar benar pelik. Sehingga lah beberapa rakan, Murthi, Abang Ilyas, Zul, Dalila, Ameera menegur aku mengatakan muka aku menunjukkan bahawa aku masih belum sihat. Ada yang mengatakan muka aku dinaiki bintik merah.
Tidak sampai sejam aku duduk, Unit Head aku mengarahkan aku untuk ke hospital. Dengan nada agak marah, dia mempersoal kehadiran aku sedangkan aku masih belum sihat sepenuhnya.
Jadi, aku terpaksa menghubungi Omar semula untuk mengambil aku dan bawa terus ke HKL. Pada saat ini, aku merasakan yang aku telah banyak menyusahkan dia.
Di HKL, darah aku diambil dan dianalisis. Amat mengejutkan apabila doktor mengatakan yang aku diserang denggi. Masih terngiang-ngiang kata kata doktor tersebut, "platelet you sangat tinggi ni, I terpaksa tahan you di wad sebab you suspect denggi tau". Aku sedikit merayu kepada doktor tersebut agar tidak ditahan namun tak dapat mengubah keputusan.
Aku terus maklum pada Omar yang aku akan tahan di wad. Sebenarnya paling aku takuti adalah, jarum suntikan untuk masuk air. Mahu tidak mahu terpaksa aku tahan sakit tersebut.
Selesai segala urusan dokumentasi, tepat jam 2.40 petang aku di hantar ke Wad 18B. Dalam sejarah hidup aku, inilah kali pertama aku di wadkan. Keadaan dalam wad agak sesak, penuh dengan pesakit. Rata-rata mereka semua dijangkiti denggi. Terus aku rebahkan kepala atas bantal dan berehat.
Nasihat doktor dan jururawat di situ, aku perlu banyakkan minum air masak kerana rawatan denggi hanya dengan air masak sahaja.
Setelah hampir 2 jam Omar menunggu aku di wad, Omar pun pulang. Sebelum pulang, aku minta Omar maklumkan perkara tersebut kepada Ibu. Risau pula hati ini, takut apa apa terjadi pada aku.
Selepas maghrib, Omar sekali lagi datang menemani aku. Waktu itu aku benar-benar rasa sayu kerana dia banyak bersusah payah membantu aku. Terima kasih, sahabat ku.
11 DISEMBER 2014 (KHAMIS)
Awal awal pagi lagi Omar sudah datang ke wad. Sengaja keluar awal katanya. Aku minta dia untuk bawakan charger. Hari ini berlalu seperti biasa. Pagi tersebut selesai bersarapan, darah aku diambil. Boleh dikatakan selang setiap 4 jam tangan aku disuntik untuk diambil darah. Aku sudah lali. Dan setiap kali doktor lintas sahaja, dia pasti akan menyuruh aku minum air masak banyak-banyak.
Ibu dan dua adik perempuan aku (Anis & Ain) datang menjenguk aku di wad tengahari itu. Walaupun nampak kerisauan diwajah Ibu namun aku beritahu tiada apa yang perlu dirisaukan. Aku masih dalam keadaan baik. Aku cium tangan Ibu tanda terima kasih kerana dari jauh mereka datang semata-mata melawat aku.
Selepas Ibu pulang, Omar pula menyusul menemani aku. Tidaklah terlalu bosan di situ. Omar meluangkan masa lunch dia di wad dengan aku. Omar bertanya bila aku boleh discharge, namun masih tiada lagi tanda-tanda aku akan dikeluarkan.
Jam 6.30 petang, aku dikunjungi pula oleh Pak Yang, Mak Yang dan Hafiz (Adik Sepupu Aku). Kami berborak mengenai denggi yang menyerang aku. Beberapa minit kemudian, sekali lagi Omar menyusul. Alhamdulillah, aku merasa gembira dengan kehadiran mereka. Tidaklah terfikir sangat akan sakit aku ni.
Malam tersebut aku bersendirian tanpa Omar. Aku kesian melihat dia berkejar ke sana sini, oleh itu aku minta dia agar berehat sahaja di rumah.
12 DISEMBER 2014 (JUMAAT)
Pagi Jumaat itu Omar terlewat bangun, jadi dia tidak singgah ke wad. Namun ada berita gembira yang aku terima pagi itu. Doktor yang merawat aku mengatakan platelet aku semakin baik. Berkemungkinan besar aku boleh discharge hari tersebut bergantung pada kesihatan aku.
Tengahari itu Omar datang melawat aku lagi. Terus aku maklumkan mengenai berita gembira tersebut. Waktu itu juga lah makanan sampai. Satu perkara yang aku ingin kongsi, sebenarnya lauk makanan di HKL boleh tahan juga sedapnya. Walaupun ramai mengatakan lauk hospital tidak enak, namun bagi aku tidak. Sepanjang aku ditahan, setiap kali makanan sampai, tiap kali itu jugalah makanan tersebut habis.
Petang itu aku seakan lupa mengenai denggi. Fikiran aku melayang memikirkan hendak pulang ke rumah. Jam 5.00 petang, jururawat siapkan segala dokumentasi untuk aku discharge. Aku betul betul tak sabar untuk pulang.
Jam 7.30 malam, doktor membenarkan aku pulang. Aku amat bersyukur kepada ALLAH. Malam itu juga Omar datang menjemput aku di wad. Doktor menasihati aku supaya teruskan minum air masak dalam kuantiti yang banyak dan minta aku supaya banyakkan rehat dalam 2 ke 3 hari ini.
Sesampainya aku di rumah, aku terus mengambil wudu', membentang sejadah dan solat sunat syukur. Almaklumlah, pertama kali diwadkan, dan ALHAMDULILLAH, tiada yang buruk berlaku.
Aku amat bersyukur kepada ILLAHI kerana masih memanjang umur ku.
ALHAMDULILLAH.. ALHAMDULILLAH.. ALHAMDULILLAH..